Profesor Diraja Syed Muhammad Naquib al-Attas pernah berkata bahawa kedatangan Islam ke Tanah Melayu mengubah jiwa dan wajah bangsa Melayu. Perubahan yang beliau maksudkan tentunya kemunculan semangat rasionalisme dan intelektualisme yang merevolusikan pandangan hidup masyarakat Melayu. Daripada bangsa yang terbelenggu dalam kepercayaan tahayul, orang Melayu berubah menjadi bangsa yang mencintai pengetahuan rasional dan menegakkan sistem masyarakat yang berpaksikan jiwa manusia baru.
Islam memperkenalkan kepada orang Melayu kehidupan beragama yang berpaksikan ilmu, bukan sentimen, emosi, dan kepercayaan buta semata-mata. Dengan demikian tersebar luaslah sikap mengutamakan tuntutan akal budi dalam soal agama dan kemurnian batin serta ilmu mengenainya dalam bangsa Melayu. Justeru tumbuh berkembang, laksana cendawan selepas hujan, pusat pengajian dan tradisi turath Islami yang sentiasa berevolusi sesuai dengan tuntutan zaman di seluruh wilayah Nusantara.
Dengan kesedaran tentang segala asakan perubahan dan cabaran pada zaman mutakhir ini, kerajaan negeri Selangor memperkenalkan, sejak tahun 2023, program Festival Turath Islami. Program ini diperkenalkan dengan tujuan menghidupkan semula minat, keupayaan, dan kebolehan untuk menggali segala hikmah yang tersimpan dalam tradisi turath Islami.
Tradisi ini bukan hanya boleh ditemui dalam kitab kuning dan klasik zaman dulu tetapi dalam ulasan dan huraian golongan ulama dan masyayikh pada zaman ini. Bahkan mereka menjadi mata rantai pengetahuan yang tetap hidup subur dan bersambung terus kepada Rasulullah SAW. Lantaran itulah mereka digelar ulama pewaris Nabi.
Kita berharap agar segala hikmah yang tersimpan dalam tradisi ini dapat dijadikan sebagai panduan bagi umat Islam mengharungi kehidupan dalam dunia yang serba mencabar pada hari ini.

Festival Turath Islami 2025 yang baru berlangsung daripada 12 sehingga 20 Julai ditampilkan, antara lain, sebagai tanggapan kepimpinan kerajaan negeri Selangor terhadap ketidaktentuan politik dan ekonomi yang sedang melanda dunia pada masa ini.
Mutakhir ini kita terpaksa menonton kekejaman Zionis-Israel membunuh dan menghapuskan rakyat Palestin di Gaza tanpa kita berdaya untuk bangkit membela mereka dalam erti kata yang sesungguhnya. Kita memerhatikan perang dagang dan tarif antara Amerika syarikat dan seluruh dunia yang menggugat kestabilan ekonomi global.
Bahkan kita baru menyaksikan kebiadaban Zionis-Israel melancarkan perang terhadap Iran tanpa sebab musabab yang sah tetapi disokong kuat pula oleh sekutu Amerika dan Eropah mereka. Kita melihat bagaimana media Barat menyembunyi dan memanipulasi fakta dan berita. Maka timbul kebimbangan dalam fikiran kita mungkin selepas ini tiba giliran negara umat Islam yang lain pula.
Tatkala kita berdepan dengan segala ketaktentuan politik dan pasang surut ekonomi ini maka ramai yang kehilangan arah dan hampir lemas hingga terpaksa bergayut pada apa jua yang sempat digapai. Seringkali terjadi dahan yang digapai itu dahan ekstremisme, kefanatikan, kepuakan, dan perkauman. Sesungguhnya ini dahan yang rapuh dan bakal segera hancur dihempas oleh kuasa politik dan ekonomi besar dunia.
Kekayaan tradisi
Kita percaya bahawa sudah tiba waktunya untuk kita menawarkan sesuatu yang lebih baik daripada dahan yang rapuh. Justeru kita mengemukakan tradisi turath sebagai paksi penyatuan umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia.
Menjadi hasrat kita dalam Festival Turath Islami 2025 ini untuk menonjolkan segala kekuatan dan kekayaan tradisi turath Islami Ahli Sunnah wal Jamaah yang terdiri daripada pelbagai aliran atau kelompok, yang masing-masing memiliki sejarah dan warisan yang sangat pelbagai dan kaya pula.
Maka kita menampilkan tokoh ulama yang lahir daripada tradisi al-Azhar di Mesir, Tarim di Yaman, Jamiah Qarawiyin di Maghribi, dan Darul Uloom Deoband di India. Ini sudah pasti bakal menghidupkan wacana keilmuan Islam yang mempertemukan kepelbagaian dan kekayaan sudut pandang dari benua kecil India merentasi wilayah di sepanjang tebing Sungai Nil serta melewati Andalusia dan barat laut Afrika.
Malah tidak ketinggalan pula barisan tokoh ulama tradisi turath Islami dari wilayah Nusantara yang lahir daripada tradisi pengajian pondok dan pesantren di Malaysia, Thailand, dan Indonesia.
Walau berbeza bangsa dan negara, walau berbeza pandangan dan aliran politik, namun kita percaya bahawa segala kekuatan dan kekayaan tradisi turath Islami berupaya menjadi paksi penyatuan umat Islam di seluruh dunia.
AMIRUDIN SHARI adalah menteri besar Selangor.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
