Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi bayangan yang kerajaan tidak akan menghalang sebarang usul undi percaya dibawa di Parlimen, di tengah desakan pembangkang agar dia meletakkan jawatan.
Anwar berkata dia telah berbincang dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul bagi memastikan jika usul sedemikian dibentangkan, ia akan dibahaskan serta-merta.
“Saya beritahu speaker (Johari) kalau ada usul, (maka undian akan dijalankan) hari ini,” katanya semasa perhimpunan bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, pagi ini.
“Hari ini hari pertama (sidang) Parlimen. Saya tunggu usul undi tak percaya. Kalau ada majoriti, silakan,” katanya lagi.
Namun, Anwar meragui kemampuan pembangkang untuk memperoleh sokongan yang mencukupi bagi menjatuhkannya, sambil menegaskan kerajaan masih memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen.
Menurut peraturan Parlimen, urusan kerajaan – iaitu rang undang-undang atau usul yang dibawa oleh kerajaan persekutuan – diberi keutamaan berbanding usul yang dibawa oleh ahli Parlimen biasa.
Semasa pentadbiran Najib Razak, beberapa usul undi tidak percaya dimasukkan dalam aturan mesyuarat. Namun, ia berada terlalu bawah dalam senarai dan tidak sempat dibawa ke Dewan Rakyat sehingga tamat sidang.
Bagaimanapun Perdana Menteri, selaku ketua Parlimen, mempunyai kuasa untuk memberi laluan kepada usul yang dibawa oleh ahli Parlimen bukan daripada kerajaan.
Pada Disember 2022, sebulan selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Anwar sendiri telah mengemukakan usul undi percaya, yang dimenanginya melalui undian suara.
Ketika itu, pembangkang tidak meminta undian belah bahagi, di mana setiap undi ahli Parlimen direkodkan secara individu.
Pada masa ini, PN sedang menggerakkan siri himpunan "Turun Anwar" bagi mendesaknya agar letak jawatan.
Himpunan utama dijadual diadakan pada Sabtu ini, dengan PN menyasarkan kehadiran 300,000 peserta. Namun, polis menjangkakan kehadiran yang lebih rendah, iaitu antara 10,000 hingga 15,000 orang.
