Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GLC Sabah nafi syarikat bekas pegawai Anwar dapat lesen teroka mineral

Syarikat milik kerajaan negeri, Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) menafikan yang mana-mana syarikat yang ada kaitan dengan bekas pegawai Perdana Menteri, Farhash Wafa Salvador diberi lesen penerokaan di negeri itu.

CEO SMM Natasha Sim memberitahu Malaysiakini bahawa berdasarkan rekod, tiada syarikat yang dimiliki atau mempunyai kaitan dengan Farhash telah diberi lesen itu.

Ia termasuklah Bumi Suria Sdn Bhd and Borneo Bumi Sdn Bhd.

“Tiada,” katanya ketika dihubungi.

Sim turut berkata SMM tiada sebarang kuasa untuk mengeluarkan lesen.

Sim berkata demikian susulan laporan MalaysiaNow yang mendakwa Bumi Suria diberi lesen penerokaan mineral di Sabah, melibatkan kawasan seluas 70,000 hektar di hutan simpan Kalabakan dan Gunung Rara berhampiran sempadan Kalimantan.

Kawasan itu meliputi hampir tiga kali ganda keluasan Kuala Lumpur.

Memetik dokumen dan surat antara SMM dan Bumi Suria, MalaysiaNow melaporkan lesen untuk syarikat itu telah dibatalkan pada awal 2024, namun diberikan semula dua minggu selepas Farhash dan seorang rakan niaga menyertai Bumi Suria.

Semakan Malaysiakini terhadap rekod rasmi syarikat mendapati Bumi Suria dimiliki oleh Borneo Bumi, yang dimiliki Farhash dan Aminudin Mustapha. Mereka menjadi pengarah di kedua-dua syarikat.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi Farhash untuk mendapatkan komen berkenaan dakwaan ini.

Farhash merupakan setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim sebelum dia menjadi perdana menteri.

Lesen penerokaan mineral di Sabah menjadi tumpuan selepas rakaman video menunjukkan beberapa Adun termasuk menteri Sabah didakwa berbincang mengenai rasuah berkaitan lesen itu dengan ahli perniagaanm Albert Tei – yang kemudiannya bertindak sebagai pemberi maklumat.

Dua ahli politik Sabah, Pembantu Menteri Andi Suryady Bandy dan Pengerusi Qhazanah Sabah Yusof Yaacob telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM350,000 daripada Tei.

Tei pula didakwa atas tuduhan memberi rasuah.

Sim sendiri terpalit dengan kontroversi susulan tersebarnya gambar yang didakwa memaparkannya bersama setiausaha syarikat SMM, Nancy Chong dan taikun balak Sabah, Elbert Lim di sisi sebuah jet peribadi yang dikatakan milik seorang hartawan arang batu dari Indonesia.

Walaupun dia sebelum ini telah menyangkal dakwaan bekas CEO SMM, Jontih Enggihon yang dia dan suaminya menyertai percutian mewah bernilai RM400,000 yang ditaja sepenuhnya, Sim masih belum memberikan sebarang penjelasan berhubung gambar tersebut.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS