Program Makanan Sedunia (WFP) mengecam tindakan tentera Israel melepaskan tembakan ke arah konvoi kemanusiaan yang menghantar bantuan makanan ke utara Gaza pada pagi Ahad, menyifatkan serangan itu sebagai "sama sekali tidak boleh diterima" dan menggesa agar keganasan terhadap orang awam yang mencari bantuan menyelamatkan nyawa dihentikan serta-merta.
Menurut Anadolu Ajansi (AA), konvoi 25 trak itu telah memasuki Gaza melalui lintasan Zikim dengan membawa bekalan penting apabila "orang ramai di sekeliling kawasan dihujani tembakan daripada kereta kebal Israel, penembak hendap dan tembakan lain tentera," kata agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dalam satu kenyataan.
"Mereka ini hanya cuba mendapatkan makanan untuk diri sendiri dan keluarga mereka yang di ambang kebuluran," katanya sambil melahirkan rasa dukacita atas "kehilangan banyak nyawa" dan ramai lagi yang mengalami kecederaan yang mengancam nyawa.
WFP turut mengkritik pelanggaran jaminan awal oleh pihak berkuasa Israel bahawa konvoi kemanusiaan tidak akan berdepan tindakan ketenteraan.
"Tidak sepatutnya ada kumpulan bersenjata berhampiran atau di dalam konvoi bantuan kami," tegasnya. "Tembakan ke arah misi kemanusiaan, konvoi dan pengagihan makanan mesti dihentikan serta-merta."
Agensi itu memberi amaran bahawa tanpa keadaan yang lebih selamat untuk operasi bantuan, mereka mungkin terpaksa menggantung penghantaran ke seluruh Gaza.
Menyoroti krisis kebuluran yang semakin meruncing di Gaza, WFP berkata hampir satu daripada tiga orang tidak makan selama beberapa hari, dengan kes malnutrisi melonjak dalam kalangan 90,000 wanita dan kanak-kanak yang memerlukan rawatan segera.
"Kami menggesa masyarakat antarabangsa dan semua pihak untuk menyokong dan memudahkan, penghantaran bantuan makanan yang menyelamatkan nyawa kepada penduduk kebuluran di Gaza - dengan selamat, terjamin di mana sahaja keluarga berada dan tanpa halangan," tambahnya.
- Bernama
