Lebih sedekad lalu, dunia menyaksikan gelombang kebangkitan yang menggoncang geopolitik di tanah Arab. Dikenali sebagai Arab Springs, kebangkitan ini bukan sahaja mencetuskan perubahan rejim di beberapa negara Timur Tengah malah turut menyingkap kekuatan terselindung yang sering kali diabaikan dalam analisis politik iaitu propaganda.
Arab Springs tidak bermula dengan manifesto atau organisasi politik besar. Ia tercetus daripada tindakan nekad seorang peniaga kecil di Tunisia. Namun dalam tempoh singkat, naratif, emosi dan penularan maklumat telah membakar semangat rakyat dari Tunisia hingga ke Mesir.
Di sinilah propaganda memainkan peranan penting. Ia bukan dalam bentuk klasiknya yang dikawal negara tetapi dalam bentuk baharu yang bergerak bebas, pantas dan sukar ditangani.
Berikut adalah lima pelajaran penting tentang propaganda yang boleh kita pelajari daripada insiden Arab Springs:
Insiden sebagai katalis propaganda
Episod bermula pada 17 Disember 2010 apabila gerai seorang peniaga jalanan muda Mohamed Bouazizi di Sidi Bouzid, Tunisia dikasari dan gerai makanan yang diusahakan dirampas. Namun apabila dia cuba mendapatkan pembelaan dengan membuat aduan kepada pihak berkuasa, permintaannya diabaikan.
Dalam keadaan tertekan dan marah, beliau menyiram petrol ke seluruh tubuhnya di hadapan bangunan pejabat kerajaan dan menyalakan api. Insiden ini telah dirakam dan disebarkan. Dalam masa beberapa hari, Bouazizi menjadi simbol penderitaan rakyat. Simbol kezaliman sebuah kerajaan yang gagal menjaga kebajikan rakyat.
Tindakan Bouazizi membangkitkan kemarahan orang ramai di Sidi Bouzid. Protes meletus sebagai solidariti terhadapnya. Rakaman dan kisah insiden tular di media sosial dan blog hingga protes itu merebak ke seluruh Tunisia dalam tempoh beberapa minggu.
Dalam propaganda moden, insiden itu menjadi simbol yang menyentuh emosi awam hingga boleh menjadi pemangkin kepada perubahan besar. Gambar, video atau suara yang membangkitkan simpati atau kemarahan berupaya menggerakkan kesedaran massa. Dalam kes Tunisia, gerakan protes ini dikenali sebagai Revolusi Melati Tunisia, satu gerakan yang memanfaatkan insiden aksi bakar diri Bouazizi sebagai protes terhadap kerajaan.
Pada tahun 1927, Harold Lasswell menerusi tesis ijazah kedoktorannya menyimpulkan keperluan melabel musuh yang jelas dan bersama diperangi. Dalam isu Bouazizi, kerajaan Tunisia dilabel sebagai musuh bersama rakyat. Naratif mereka berjaya sedangkan tubuh Bouazizi bukan pemimpin politik tetapi kisahnya mencetuskan naratif yang menggugat rejim berdekad lamanya.
Selepas 10 hari insiden itu, pada 14 Januari 2011, Presiden Tunisia Zine El Abiding Ben Ali melarikan diri ke Arab Saudi, menandakan kejatuhan rejimnya selepas 23 tahun memerintah.
Kuasai media sosial
Jika dahulu propaganda dimonopoli oleh kerajaan melalui media tradisional, Arab Spring membuktikan media sosial ialah alat paling ampuh untuk menyebar dan menguatkan naratif rakyat. Facebook, Twitter dan Youtube menjadi ruang mobilisasi dan penyatuan mesej.

Di Mesir pula, protes tercetus ekoran insiden seorang anak bernama Khaled Said dipukul oleh polis sehingga mati. Pada hari kejadian, Khaled sedang berada di sebuah kafe Internet. Dua anggota polis berpakaian biasa menyerbu masuk dan memaksanya keluar. Mereka kemudiannya memukul Khaled dengan kejam di hadapan orang awam. Dia dipukul sehingga mati di tepi jalan.
Polis mendakwa Khaled meninggal dunia kerana “sesak nafas” akibat menelan dadah tetapi gambar mayat Khaled tersebar luas, menunjukkan muka yang hancur, rahang patah dan terdapat kesan pukulan teruk.
Gambar-gambar itu menimbulkan kemarahan luar biasa dalam kalangan kalangan rakyat.
Halaman Facebook “We Are All Khaled Said”, merujuk kepada seorang remaja yang mati dipukul polis telah menjadi pemangkin kepada kepada kemarahan rakyat. Mereka membina identiti bersama iaitu rakyat yang tertindas dan menuntut hak keadilan.

Jelas bagaimana rakyat bertindak secara bersepadu dengan protes 18 hari tanpa henti, akhirnya Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan.
Dalam era digital, propaganda tidak lagi bergantung kepada satu suara berautoriti. Ia datang dari ribuan rakyat biasa yang merakam, menulis dan berkongsi nilai dan pengalaman yang sama. Mereka mencipta gelombang yang mustahil dihentikan dengan cara lama.
3. Emosi menggerakkan massa
Satu kesilapan besar yang sering dilakukan dalam komunikasi politik ialah kebergantungan mutlak kepada fakta. Arab Springs menunjukkan menunjukkan bahawa emosi adalah senjata paling berkesan dalam propaganda. Emosi marah, simpati dan takut semuanya semuanya digabungkan dalam satu naratif rakyat.
Rakaman video kekejaman, gambar mangsa, cerita keluarga miskin atau anak muda yang dipenjara. Semua ini bukan sekadar maklumat tetapi mesej yang menyentuh jiwa. Ia dapat mewujudkan satu falasi mudah iaitu, “Sekiranya perkara itu boleh berlaku kepada mereka, ia juga mungkin boleh berlaku kepada keluarga saya".
Dalam merangka propaganda yang menyerang, menguasai emosi khalayak lebih penting daripada sekadar membentang angka atau dasar. Kemenangan naratif berlaku apabila mesej meresap ke hati, bukan semata-mata ke akal.
Kepentingan menggunakan emosi yang betul sudah tercatat dalam buku yang ditulis oleh Edward Bernays, bapa propaganda moden pada tahun 1928 dalam bukunya bertajuk Propaganda.
Beliau merumuskan bagaimana emosi terkait rapat dengan minda bawah sedar dan jika dipacu dengan sempurna bakal mendorong tindakan.
4.Kerajaan gagal kawal naratif
Rejim-rejim yang tumbang dalam Arab Springs bukan kerana kekurangan tentera, tetapi mereka tumpas dalam perang naratif. Mereka tidak mampu meyakinkan rakyat bahawa mereka masih relevan dan mempunyai integriti.
Apabila rakyat melihat percanggahan antara kenyataan rasmi dengan realiti harian mereka misalnya kerajaan mengatakan ekonomi kukuh sedangkan banyak isu eknonomi rakyat dirasakan tidak selesai. Dalam ruang kepercayaan yang kosong, ketika itulah propaganda alternatif mula bertapak.
Musuh kepada naratif rakyat bukan fakta yang lebih kuat tetapi ketidakmampuan pihak pemerintah menjelaskan kebenaran yang dipercayai rakyat. Kelemahan komunikasi mereka menjadi ruang untuk propaganda pihak lawan mengambil alih.
Di zaman semua orang memiliki media sosial peribadi, cabaran agenda setting, framing dan priming pihak kerajaan menjadi semakin sukar. Kebanjiran dan kecepatan maklumat massa dan sifat massa yang gemar sharing (kongsi) dan shaping (memperbesarkan isu mengikut cita rasa) menuntut pihak kerajaan memiliki pasukan yang cekap dalam menerang naratif.

5. Gerak kerja menyatukan perbezaan
Arab Springs menyatukan pelbagai latar belakang masyarakat tanpa mengira agama, kelas sosial atau ideologi. Ini kerana mereka bersatu atas isu yang menyentuh kehidupan harian seperti pengangguran, rasuah, harga barang, dan layanan tidak adil.
Dalam strategi propaganda, naratif mesti dibina atas isu yang dirasai massa. Jika naratif hanya berfokus kepada isu minoriti, ia tidak mencipta gelombang. Ahli falsafah Perancis, Jacques Elluls dalam bukunya The Formation of Men Attitude (1965) merumuskan keperluan naratif isu mesti dibingkai mengikut perspektif tertentu. Jangan ada rasa bersalah terhadap perspektif pandangan kerana ia bergantung kepada kepentingan, ilmu dan persekitaran.
Tetapi jika naratif menjadikan sesuatu isu yang rakyat `rasa’ terkesan contohnya, “rakyat terbeban dengan kos sara hidup” aatau "anak muda tiada masa depan", maka kebangkitan boleh berlaku dalam skala nasional. Namun, ia juga bergantung kepada insiden dan ikon yang membawanya.
Arab Springs membuktikan bahawa dalam dunia hari ini, yang membentuk realiti bukanlah semata-mata kekuatan fizikal tetapi keupayaan sebenar naratif. Propaganda bukan lagi monopoli pemilik elit pemerintah tetapi senjata yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang tahu cara memanipulasi insiden, menyusun emosi, membina simbol dan menguasai saluran komunikasi.
Lima pelajaran ini bukan sahaja penting untuk memahami sejarah Arab Springs, malah menjadi panduan kepada sesiapa yang ingin memahami dan menggunakan propaganda secara strategik.
Sama ada untuk menyerang musuh politik, mencabar sistem tidak adil, atau membangkitkan kesedaran rakyat, propaganda yang tersususun adalah senjata yang ampuh.
Dalam era teknologi maklumat, siapa yang menguasai naratif dialah yang menguasai medan tempur.
BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah naib ketua Umno bahagian Sungai Besar dan bekas ahli parlimen.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
