Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Portal dakwa dokumen sahkan syarikat Farhash dapat lesen cari gali
Diterbitkan:  Jul 21, 2025 9:56 PM
Dikemaskini: Jul 22, 2025 4:09 AM

Portal berita MalaysiaNow menerbitkan dokumen yang didakwa mengesahkan bahawa Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dianugerahkan lesen cari gali simpanan mineral di kawasan hutan simpan yang luas di Sabah.

Pendedahan itu dibuat selepas bekas setiausaha politik perdana menteri itu menafikan laporan terdahulu dan mengeluarkan notis cease and desist kepada MalaysiaNow, dengan mendakwa portal itu menyebarkan dakwaan palsu berhubung perkara tersebut.

Portal berita itu dalam laporan terbarunya, menyatakan dokumen berupa surat, rekod pendaftaran syarikat, minit mesyuarat lembaga pengarah dan rakaman audio diperoleh daripada sumber dalaman Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd - agensi pelesenan negeri yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.

Bagaimanapun, MalaysiaNow memaklumkan bahawa portal itu memilih untuk tidak menyiarkan rakaman audio berkenaan yang dikatakan boleh menyokong lagi laporan mereka.

Maklumat dalam dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diterbitkan turut disunting, dan hanya petikan daripada minit mesyuarat sahaja yang didedahkan kepada umum.

Laporan kedua ini diterbitkan selepas SMM menafikan ada mengeluarkan sebarang lesen cari gali kepada syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan Farhash, yang merupakan bekas pengerusi PKR Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim, memberitahu Malaysiakini bahawa berdasarkan rekod, tiada syarikat milik atau berkaitan Farhash yang pernah diberikan lesen sedemikian.

Laporan MalaysiaNow beri gambaran berbeza

Merujuk kepada dokumen SSM yang dimilikinya, MalaysiaNow melaporkan bahawa dokumen tersebut menunjukkan pelantikan Farhash sebagai ahli lembaga pengarah Bumi Suria Sdn Bhd pada 7 Mei 2024, bersama seorang ahli perniagaan bernama Aminudin Mustapha.

Semakan Malaysiakini terhadap rekod rasmi syarikat mendapati Bumi Suria dimiliki oleh Borneo Bumi Sdn Bhd, yang dimiliki oleh Farhash dan Aminudin. Kedua-duanya merupakan pengarah bagi kedua-dua syarikat itu.

Seminggu selepas Farhash dan Aminudin dilantik sebagai pengarah Bumi Suria, Hajiji didakwa memanggil mesyuarat lembaga SMM yang dihadiri sekumpulan individu.

Menurut minit mesyuarat yang didakwa itu, antara yang hadir termasuklah kepimpinan tertinggi SMM seperti CEO ketika itu, Jontih Enggihon dan Sim, yang digambarkan sebagai "CSO".

Mesyuarat tersebut turut dihadiri sekurang-kurangnya empat tokoh korporat serta wakil eksekutif dari sebuah syarikat perlombongan Indonesia.

“Mesyuarat antara lain meluluskan permohonan Bumi Suria mendapatkan lesen carigali, memberikannya hak eksklusif meneroka simpanan arang batu seluas kira-kira 70,000 hektar di hutan simpan Kalabakan dan Gunung Rara berhampiran sempadan Kalimantan, iaitu kawasan yang hampir tiga kali ganda keluasan Kuala Lumpur.

Melalui surat bertarikh 21 Mei tahun lalu, Jontih memaklumkan Bumi Suria mengenai keputusan tersebut. Ia dibalas Farhash melalui surat bertarikh 7 Jun di mana beliau "mengucapkan ribuan terima kasih" kepada SMM kerana meluluskan permohonan Bumi Suria," menurut laporan MalaysiaNow.

Bersatu gesa siasatan menyeluruh

Berikutan laporan tersebut, Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah Nabila Norsahar menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh berkenaan kelulusan lesen SMM dalam kes Bumi Suria dan skandal jet peribadi, yang melibatkan eksekutif syarikat itu.  

Dia menegaskan bahawa semua pihak dan pegawai awam yang terlibat dalam skandal tersebut perlu disiasat atas kemungkinan melanggar undang-undang dan etika.  

“Pendedahan terkini melibatkan SMM menimbulkan persoalan serius mengenai tadbir urus, integriti, dan ketelusan dalam pengurusan sumber alam Sabah.  

Nabila Norsahar

“Saya rasa ketua menteri (Sabah) tidak boleh lagi berdiam diri, tetapi perlu memberikan penjelasan yang jelas kepada orang awam, terutamanya mengenai persoalan sama ada SMM beroperasi secara bebas atau sekadar menjadi cop getah bagi kepentingan politik,” katanya dalam kenyataan.  

Sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), SMM berhutang penjelasan yang jelas dan telus kepada orang ramai, dan sikap berdiam diri hanya mengukuhkan syak wasangka bahawa syarikat itu terjejas oleh pengaruh politik, katanya.  

“Sumber awam tidak boleh diperdagangkan untuk kepentingan politik, dan entiti berkaitan kerajaan perlu diingatkan bahawa mereka bertanggungjawab bukan kepada individu yang berkuasa, tetapi kepada rakyat.  

“Tanah, hutan, dan kekayaan alam Sabah milik semua anak Sabah – bukan hanya segelintir yang mempunyai hubungan politik,” tambahnya. 

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS