GLOBAL | Mahkamah Tinggi Bombay semalam membebaskan 12 individu yang sebelum ini disabitkan dalam kes letupan tren Mumbai 2006, termasuk lima yang berada dalam hukuman mati, lapor Xinhua.
Memetik kenyataan pegawai kehakiman, agensi berita itu melaporkan bahawa mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap semua tertuduh dan membatalkan keputusan pada 30 Sept 2015 yang dikeluarkan oleh mahkamah khas di bawah Akta Kawalan Jenayah Terancang Maharashtra.
“Pendakwaan gagal sepenuhnya membuktikan kes terhadap tertuduh.
“Sukar untuk mempercayai bahawa mereka yang melakukan jenayah ini. Oleh itu, sabitan terhadap mereka dibatalkan dan diketepikan,” kata Mahkamah Tinggi Bombay.
Mahkamah turut mempersoalkan kebolehpercayaan beberapa saksi pendakwaan serta proses pengecaman terhadap sebahagian tertuduh, dan mengarahkan pembebasan mereka sekiranya tidak diperlukan untuk ditahan dalam mana-mana kes lain.
Mahkamah juga menyatakan bahan letupan, senjata dan peta yang dirampas semasa siasatan kelihatan tidak berkaitan dengan letupan tersebut.
Malah, pihak pendakwaan juga didapati gagal membuktikan jenis bom yang digunakan dalam serangan berkenaan.
Pada 11 Julai 2006, tujuh bom meletup dalam tempoh 10 minit ketika waktu puncak petang di beberapa tren komuter di Mumbai, pusat kewangan dan hiburan India, mengorbankan 189 orang dan mencederakan lebih 800 yang lain.
Letupan berlaku berhampiran stesen Matunga Road, Mahim Junction, Bandra, Khar Road, Jogeshwari, Bhayandar dan Borivali.
- Bernama/Xinhua
