Perdana Menteri Anwar Ibrahim (PH-Tambun) menegaskan bahawa tiada persetujuan rasmi dicapai dengan Indonesia berhubung cadangan untuk membangunkan potensi ekonomi secara bersama di Laut Sulawesi.
Mengambil maklum bahawa perbincangan dua hala formal mengenai perkara itu dijadualkan pada 29 Julai, Anwar memberi jaminan bahawa rundingan itu turut melibatkan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
Ia memandangkan sempadan maritim negeri itu merupakan antara perkara yang akan dibangkitkan.
Anwar mengesahkan bahawa dia dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto mempunyai persefahaman yang sama dalam mencari penyelesaian terhadap pertikaian mengenai Blok ND6 dan ND7 - yang dikenali sebagai Blok Ambalat - di Laut Sulawesi.

Bagaimanapun, memberitahu Dewan Rakyat, Anwar menegaskan bahawa sebarang penyelesaian hanya akan dimuktamadkan setelah mengambil kira pandangan Sabah.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang mendesak Anwar memberikan butiran terperinci tentang sebarang persetujuan yang dicapai dengan Prabowo.
Anggota Parlimen Bersatu itu juga membangkitkan kekaburan istilah yang digunakan dalam laporan media mengenai pengurusan bersama Blok Ambalat oleh kedua-dua negara.
Sebelum itu, Ronald mempersoalkan bagaimana keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada tahun 2002–yang memberikan hak milik ke atas pulau Ligitan dan Sipadan kepada Malaysia–mungkin mempengaruhi penetapan sempadan maritim dengan Indonesia di Laut Sulawesi, termasuk isu kedaulatan ke atas Blok Ambalat.
