Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Demo turun Anwar: Penjawat awam tak perlu hirau amaran KSN, kata LFL
Diterbitkan:  Jul 22, 2025 12:48 PM
Dikemaskini: 5:09 AM

Lawyers for Liberty (LFL) menggesa penjawat awam agar tidak mengendahkan amaran Ketua Setiausaha Negara (KSN) Shamsul Azri Abu Bakar agar tidak menyertai himpunan Turun Anwar yang dijadualkan berlangsung minggu ini.

Pengarahnya Zaid Malek menyifatkan amaran yang keluarkan Shamsul Azri kelmarin sebagai “tidak sah di sisi undang-undang” dan tindakan terdesak oleh kerajaan.

“Kenyataan KSN tiada asas undang-undang dan jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 10(1)(a) dan (b) dalam Perlembagaan menjamin hak kebebasan bersuara dan hak untuk berhimpun secara aman.

“Ini undang-undang tertinggi negara yang sepatutnya dipelihara oleh Shamsul Azri. Apakah dia sudah lupa sumpah jawatannya? Tugasnya adalah untuk melindungi penjawat awam, bukan menindas atas arahan kerajaan.

“Justeru, kami menggesa semua penjawat awam agar tidak mengendahkan arahan yang tidak sah ini. Adalah sah dan wajar untuk penjawat awam menyertai himpunan aman ini sekiranya mereka mahu,” kata Zaid dalam kenyataan, hari ini.

Zaid turut memberi jaminan yang pihaknya sedia memberi bantuan guaman kepada mana-mana penjawat awam yang dikenakan tindakan kerana menyertai himpunan itu.

Shamsul Azri Abu Bakar

Semalam, Shamsul Azri berkata tidak sewajarnya penjawat awam menyertai perhimpunan berkenaan, yang menurutnya tidak sesuai dengan prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara yang terkandung dalam Rukun Negara.

‘PM bukan raja’

Bagaimanapun, Zaid menyelar kenyataan itu sebagai “jelas tidak masuk akal”.

“Mengkritik Perdana Menteri adalah hak demokrasi penjawat awam, bukannya perbuatan tidak setia kepada negara.

“Perdana Menteri adalah seorang tokoh yang dipilih rakyat, bukan raja. Mandatnya datang daripada rakyat, dan boleh juga ditarik balik oleh rakyat — itu hak dalam sistem demokrasi,” katanya lagi.

Dia turut mengingatkan kerajaan bahawa kritikan, perbezaan pendapat dan protes adalah sebahagian daripada asas demokrasi dan tidak seharusnya disamakan dengan pengkhianatan.

Tanggapan seumpama itu menunjukkan salah faham terhadap kerangka perlembagaan negara, katanya.

Himpunan yang dijadual berlangsung jam dua petang di Kuala Lumpur pada Sabtu ini merupakan kemuncak kepada siri demonstrasi kecil yang dianjurkan oleh PAS dan PN untuk menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahaya menyeru semua rakyat untuk turut serta dalam perhimpunan itu, yang disifatkannya sebagai satu tanggungjawab moral dan agama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS