Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tersebar video kedudukan bintang gesa penganut Hindu tak turun demo
Diterbitkan:  Jul 22, 2025 1:36 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Sebuah video yang tular di WhatsApp memberi amaran janggal kepada penganut Hindu: Jangan sertai protes antikerajaan Sabtu ini - kerana jajaran bintang tidak sesuai.

Video yang diletakkan simbol suci Hindu "Om" itu bertajuk "Penganut Hindu, jangan hadiri protes. Nasihat ICCIS" - merujuk kepada demonstrasi anjuran Perikatan Nasional (PN) yang menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan.

Kemudian dijelaskan bahawa ICCIS bermaksud Dewan Perniagaan Dan Perindustrian India Negeri Selangor.

Disampaikan dengan penceritaan yang mengingatkan kita kepada David Attenborough– pengacara dokumentari hidupan liar–video itu menyelami tentang Panchangam, almanak Hindu tradisional untuk mentafsir pergerakan cakerawala.  

Pencerita menjelaskan bahawa tanggal 26 Julai jatuh bawah Ashlesha Nakshatra - buruj lunar dikaitkan dengan ular, kerahsiaan dan kegelisahan emosi.  

"Ashlesha bersifat tidak stabil, manipulatif dan penuh emosi. 

“Ia dikaitkan dengan naga, dunia bawah tanah, kerahsiaan, kerusuhan massa dan gerakan bawah tanah," jelas suara tersebut.  

Turut dinyatakan protes pada hari itu menjadikannya lebih malang. Hari Sabtu dipengaruhi oleh Zuhal, planet yang mewakili karma, kelewatan dan disiplin.  

"Zuhal menyokong disiplin tetapi membawa penderitaan jika dharma dilanggar," kata narator.  

"Dengan Shani (Zuhal) selari dengan Ashlesha (bintang), mungkin berlaku tindak balas emosi dan karma," tambahnya.  

Dalam mesej kepada rakyat Malaysia, narator mengingatkan menyertai protes bawah pengaruh kuasa kosmik bergolak mungkin membawa akibat tidak diingini walaupun niat mulia.  

"Jangan bertindak tergesa-gesa atau diprovokasi. Sebaliknya, tunjukkan perpaduan melalui senyap dan kekuatan spiritual. Kadangkala, tidak bertindak adalah isyarat paling kuat."  

"Ini bukan pengunduran. Ini kebijaksanaan. Apa yang ditunjukkan langit pada hari ini," tambahnya.  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS