Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui sahaja bahawa tiada bukti kukuh untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Pulau Batu Puteh.
Katanya, SPRM boleh sahaja bertindak terhadap bekas menteri Daim Zainuddin, termasuk menyita aset-aset berkaitan walaupun selepas kematian allahyarham.
"Tun M tidak sama seperti sesetengah individu yang cuba lengahkan kes mahkamah, mohon imuniti dan sebagainya.
“Bahkan jika kerajaan bertindak dakwa Tun M, barangkali 'orang tua' itu tanpa sebarang takut akan melangkah ke kandang tertuduh pertahankan dirinya,” katanya.
Ahmad Fadhli bagaimanapun menegaskan dia bukan mahu mempertahankan Mahathir sangat tetapi “mual” dengan alasan Anwar.
“Turun sahajalah, selesai satu masalah besar negara," katanya.
Terdahulu, Anwar berkata kabinet memutuskan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas perdana menteri Mahathir berhubung isu Pulau Batu Puteh atas faktor usianya yang lanjut.
Anwar berkata kabinet juga mengambil kira status pemimpin 100 tahun itu sebagai bekas perdana menteri.
Anwar berkata demikian ketika menjawab Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
"Apakah dia tak salah (dalam isu Pulau Batu Puteh)? Dia salah.
"(Tapi) apakah kita perlu ambil tindakan? Saya dalam mesyuarat Kabinet, saya setuju tak ambil tindakan.
"Kalau ambil tindakan, anda, Kota Bharu (Takiyuddin) yang akan jerit kata kita tak adil,” katanya.
Tahun lalu, suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan agar siasatan jenayah dibuat terhadap Mahathir.
Dalam laporan yang telah dinyah klasifikasi di parlimen pada 5 Disember, RCI menyatakan Mahathir mengelirukan kabinet pada 2018 untuk menarik balik semakan Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memberikan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.
RCI juga berpandangan Malaysia masih mempunyai peluang untuk membatalkan keputusan mahkamah tersebut.
