Peguam kepada Albert Tei mendakwa, ahli perniagaan itu ada menghubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal rasuah di Sabah namun agensi terbabit bahkan memberi amaran agar dia tidak tampil ke khalayak umum atau berdepan dengan masalah.
Menjelaskan perkara itu, Mahajoth Singh merndakwa, Tei menghubungi SPRM pada Okt 2024 dalam usaha mendedahkan skandal lesen cari gali mineral di negeri berkenaan.
Hanya selepas itu, kata Mahajoth, Tei bertindak mendedahkan apa yang diketahuinya itu kepada Malaysiakini.
"Untuk menjelaskan sebarang keraguan, anak guam saya sebenarnya telah menghubungi SPRM pada penghujung Okt 2024.
"Dia cuba membuat pendedahan berhubung skandal rasuah Sabah. Bagaimanapun, dia diberi amaran oleh SPRM untuk tidak tampil kerana jika tidak, dia akan menghadapi masalah.
"Tiada perlindungan ditawarkan, tiada tindakan diambil," kata Mahajoth dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mahajoth mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said, yang menyatakan bahawa pemberi maklumat yang mendekati media sebelum merujuk terlebih dahulu kepada agensi penguatkuasaan tidak berhak mendapat perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Sebelum ini, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya juga memberitahu Tei menerima ugutan daripada "orang atasan" yang tidak menggalakkannya terlibat secara langsung dengan SPRM.
Bertindak dengan niat baik
Mahajoth berkata hanya selepas ditolak oleh SPRM dan menerima ugutan bunuh, Tei memutuskan untuk mendedahkan apa yang diketahuinya itu kepada umum.
"Pada masa itu, dia telah pun memenuhi keperluan undang-undang untuk mendapat perlindungan di bawah seksyen 7 akta tersebut.
"Untuk mencadangkan sekarang bahawa dia hilang kelayakan kerana ada penglibatan media dan berdasarkan seksyen 11 akta (yang mengatakan bahawa jika dia terlibat dia tidak boleh diberi perlindungan) adalah salah dari segi fakta dan tidak mampan dari segi undang-undang," katanya.
Mahajoth berkata adalah tidak wajar untuk kerajaan menggunakan seksyen 11 dalam akta itu untuk mewajarkan perlindungan ke atasnya dinafikan.

"Bahagian itu berkaitan 'pembatalan' perlindungan, bukan sama ada ia diberikan atau tidak pada mulanya.
"Anak guam saya tidak pernah diberikan perlindungan. Jadi, sekali lagi saya bertanya, apakah sebenarnya yang dibatalkan?" soalnya.
Mahajoth juga menegaskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 12 Nov bahawa pemberi maklumat "tidak dijamin akan dilindungi" jika mereka jadi pemberi rasuah.
"Dapatkan menteri undang-undang sahkan sekarang jika perdana menteri boleh memutuskan siapa yang berhak menerima perlindungan sebagai pemberi maklumat?" tanya peguam itu lagi.
Dalam perkembangan sama Mahajoth turut mempersoalkan status wakil rakyat lain yang terbabit dalam skandal itu selain dua yang telah didakwa.
"Apa yang berlaku? Mengapa mereka tidak didakwa? Mengapa fokus kerajaan hanya ditujukan kepada pemberi maklumat?
"Anak guam saya bertindak dengan niat baik, mengikut undang-undang. Dia sepatutnya dilindungi, bukan didakwa," katanya.
Sejak Nov tahun lalu Tei mengeluarkan beberapa siri video dan dokumen yang didakwa membabitkan sembilan ahli politik termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah yang didakwanya menerima rasuah sebagai pertukaran untuk mendapatkan lesen mencari gali mineral.
Tei didakwa di Mahkamah Rasuah Kota Kinabalu pada 30 Julai lalu dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah. Turut didakwa - dan mengaku tidak bersalah - ialah Adun Tanjung Batu, Andi Suryady Bandy; dan dan Yusof Yacob (Sindumin).
