Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan mereka yang mengkritiknya berhubung isu badan kehakiman tidak memahami sejarah.
“Sebab itu, kadang-kadang apabila dibincangkan tentang badan kehakiman sekarang, saya anggap ada yang langsung tidak memahami sejarah.
“Orang-orang yang pernah bersekongkol dengan segala penindasan dan kezaliman dahulu, kini mahu berbicara tentang kebebasan,” katanya di Shah Alam hari ini.
Dia berucap semasa pelancaran biografi kartunis politik Zulkiflee Anwar Haque atau lebih dikenali sebagai Zunar.
Bagaimanapun, pengkritik Anwar dalam isu kehakiman terkini mengaitkannya dengan skandal VK Lingam (bawah).

Mereka merujuk rakaman Lingam, seorang peguam, yang mendedahkan dalam panggilan telefon bagaimana dia mempengaruhi pelantikan hakim-hakim penting.
Rakaman itu terbongkar pada 2007, mencetuskan kemarahan meluas yang akhirnya membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada 2009.
Skandal kehakiman terkini berkisar tentang peranan JAC mencalonkan lantikan hakim, dengan ramai yang membangkitkan kebimbangan tentang peranan perdana menteri dalam proses itu.
Undang-undang AI dan hak cipta
Dalam ucapannya, Anwar turut mencadangkan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital merangka undang-undang mengenai kecerdasan buatan (AI) untuk melindungi hak cipta.
Dia menekankan jaminan penting untuk mereka yang bekerja dalam bidang kreatif seperti kartunis, pembikin filem dan penyair.
“Perlindungan harus diberikan bukan sahaja kepada kartunis, tetapi juga filem, puisi, dan karya seni lain yang kadang-kadang 'dibunuh' oleh sistem yang mematikan daya cipta dan keupayaan seniman.

“Oleh itu, Kementerian Digital dan Komunikasi perlu mewujudkan peruntukan perundangan yang memastikan negara kita tidak hanya mengikut acuan luar, sehingga akhirnya kehilangan jati diri, nilai, dan apa yang sepatutnya dipupuk di sini," katanya
Anwar berkata golongan muda perlu dilatih dalam AI untuk memastikan mereka mengekalkan nilai-nilai tempatan termasuk kepercayaan agama dan kepelbagaian.
Dia juga membandingkan perubahan negara sejak zaman muda Zulkiflee.
