Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Video kedudukan bintang gesa penganut Hindu tak turun demo muslihat nakal'
Diterbitkan:  Jul 22, 2025 4:03 PM
Dikemaskini: 8:04 AM

Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) P Ramasamy membangkitkan persoalan berhubung penyebaran video yang memberi amaran agar penganut Hindu tidak menyertai himpunan Turun Anwar pada Sabtu ini.

Menggesa penganut Hindu agar tidak mengendahkan amaran itu, Ramasamy malah mendakwa ada kemungkinan kerajaan terlibat dalam penyebarannya.

"Orang India mesti mengambil bahagian secara aktif dalam proses politik untuk menentukan nasib mereka sendiri. 

"Untuk membangkitkan beberapa mitologi Hindu yang mengelirukan untuk menghalang penyertaan orang India dalam perhimpunan 26 Julai adalah muslihat nakal. 

"Mitologi ini telah digunakan oleh mereka dalam kerajaan untuk menghalang orang India berfikir bahawa mereka mungkin terpengaruh dengan beberapa pantang larang," dakwanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, tersebar video yang memberi amaran janggal kepada penganut Hindu, iaitu agar tidak menyertai himpunan itu kerana jajaran bintang tidak sesuai.

Video yang diletakkan simbol suci Hindu "Om" itu bertajuk "Penganut Hindu, jangan hadiri protes. Nasihat ICCIS". ICCIS merujuk kepada Dewan Perniagaan Dan Perindustrian India Negeri Selangor.

Dalam mesej kepada rakyat Malaysia, narator mengingatkan menyertai protes bawah pengaruh kuasa kosmik bergolak mungkin membawa akibat tidak diingini walaupun niat mulia.  

Mengulas lanjut, Ramasamy berkata masyarakat India di Malaysia sememangnya ada sebab untuk menyertai himpunan tersebut, kerana menurutnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak menunaikan janji kepada mereka.

"Nasib orang India terletak di tangan mereka, bukan pada bintang yang jauh atau pergerakan planet. Orang India atau Hindu mempunyai segala alasan untuk menyertai himpunan Turun Anwar pada 26 Julai. 

"Kerajaan amnya dan Anwar khususnya telah menjadi kekecewaan besar kepada masyarakat Hindu/India di negara ini. Semua janji dan pembaharuan telah hilang," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS