Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Undang-undang tak boleh jadi alat penguatkuasaan terpilih - NGO
Diterbitkan:  Jul 22, 2025 4:18 PM
Dikemaskini: 8:18 AM

Sebuah NGO penganut Hindu mengingatkan kerajaan bahawa undang-undang tidak boleh dijadikan “alat penguatkuasaan terpilih”.

Ia sebaliknya mesti bertindak dengan adil dan tegas, kata Malaysia Hindhudharma Maamandram (MHDM), antara pertuduhan Hindu terbesar di negara ini.

MHDM berkata demikian ketika melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan menteri undang-undang Azalina Othman Said bahawa tiada bukti mencukupi untuk mendakwa penceramah kontroversi Zamri Vinoth dan Firdaus Wong.

"Penjelasan menteri bukan sahaja tidak meyakinkan dan ia tidak boleh diterima. Isu di sini bukan politik. Ia adalah moral, undang-undang, dan perlembagaan.  

"Undang-undang tidak boleh dipersenjatai secara selektif, dan tidak boleh menjadi perisai bagi mereka yang mempunyai pengaruh atau keistimewaan agama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Awal hari ini, Azalina memberitahu di Dewan Rakyat bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan tiada keterangan yang mencukupi untuk mendakwa Zamri dan Firdaus.

Zamri (kiri) dan Firdaus

Sebelum ini, Zamri disiasat selepas dituduh menghina agama Hindu dengan membandingkan pembawa kavadi sempena Thaipusam dengan individu mabuk atau dirasuk.

Dia juga ditahan pihak berkuasa pada Mac lalu melibatkan hantaran Facebook mengenai pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur selepas menggambarkan jawatankuasa kuil sebagai pihak yang "mencuri" tanah.

Bagi kes Firdaus pula, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada awal bulan ini memutuskan videonya – yang mempromosikan penukaran agama secara rahsia melibatkan kanak-kanak bawah umur – sebagai tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, Azalina bagaimanapun berkata kes itu tidak tamat memandangkan kes jenayah, berbeza dengan kes sivil, tidak tertakluk kepada had masa.

Kerajaan mesti berani

Sementara itu, MHDM menggesa kerajaan untuk menunjukkan keberanian politik dan integriti undang-undang.

"Rakyat tidak lagi berdiam diri. 

“Dan tidak bertindak berterusan dalam menghadapi provokasi terang-terangan tidak akan diterima," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS