Polis serbu pejabat dua peguam Hindraf
Polis menyerbu dua pejabat peguam P Uthayakumar dan adiknya, Waythamoorthy, untuk mencari sebuah buku yang dianggap berunsur hasutan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.
Lima pegawai polis mengeledah pejabat Uthayakumar di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur, manakala sepuluh orang lagi mengeledah pejabat Waythamoorthy di Seremban, Negri Sembilan.
Serbuan tersebut dilakukan serentak pada kira-kira jam 3.30 petang.
Pasukan polis dari ibupejabat daerah Dang Wangi mendapatkan waran geledah di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dari mahkamah majistret untuk mencari buku bertajuk '50 Years of Violation of the Federal Constitution by the Malaysian Government'.
Buku setebal 41 jalaman itu memberi butiran lanjut mengenai isu-isu yang dibincangkan oleh Suruhanjaya Reid dalam setiap mesyuaratnya dan memorandum yang diserahkan oleh pelbagai pertubuhan ketika Perlembagaan Persekutuan dirangka.
Pasukan polis tersebut menghabiskan masa kira-kira sejam di pejabat Uthayakumar sebelum beredar pada kira-kira jam 4.30 petang tanpa merampas apa-apa.
Tidak jumpa apa-apa
Ketika dihubungi, Uthayakumar berkata: "Mereka tidak jumpa apa-apa. Saya hanya nampak seorang daripada mereka mengambil gambar papan tanda (pejabat) saya."
Uthayakumar dan adiknya itu yang mengetuai Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf), baru-baru ini memfailkan saman terhadap kerajaan British kerana membawa orang India ke Malaysia sebagai buruh dan mengeksploitasi mereka selama 150 tahun.
Mereka menuntut AS$4 trillion (RM14 trillion) - atau AS$1 juta bagai setiap orang India yang tinggal di Malaysia.
Hindraf dijadual mengadakan satu perhimpunan di luar Bangunan Pesuruhjaya Tinggi British Ahad ini dan menyerahkan petisyen menggesa Ratu Elizabeth melantik Peguam Diraja untuk mewakili kaum minoriti India.
Kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(c) kerana mencetak, menerbit, mengedar atau mencetak semula sebarang penerbitan berunsur hasutan boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Berita asal
Sementara itu, Waythamoorthy, ketika dihubungi berkata pihak polis datang ke pejabat guamanya selama kira-kira dua jam dan merampas lapan benda daripada pejabatnya.
"Mereka tidak jumpa buku yang mereka cari. Bagaimanapun, mereka telah merampas kira-kira 2,500 nashkah terjemahan dalam bahasa Tamil writ yang kami failkan di London," katanya.
Bimbang keselamatan
Beliau juga berkata, pihak polis juga mengambil beberapa risalah untuk perhimpunan Ahad ini.
"Jika mereka mahukan buku tersebut, mereka boleh minta dari dari kami. Kami akan beri pada mereka," katanya.
"Kita tidak ada apa yang hendak disembunyikan. Buku itu mengandungi dokumen kebenaran."
Beliau juga berkata, pihak polis cuba untuk menghalang mereka daripada mengadakan perhimpunan Ahad ini serta saman tersebut, dengan melakukan serbuan ke kedua-dua pejabat berkenaan.
"Mereka amat bimbang. Saya boleh beri jaminan bahawa saman itu akan diteruskan. Begitu juga dengan perhimpunan Ahad ini," katanya.
Waythamoorthy juga berkata pihak polis telah bertindak melebihi kuasa mereka di bawah waran geledah, dengan mengambil foto pejabatnya, termasuk sistem keselamatannya.
"Waran geledah itu hanya untuk mengeledah buku dan bahan-bahan lain, bukan untuk mengambil foto pejabat saya,
"Saya diberitahu, mereka melakukan perkara yang sama di pejabat KL juga. Kami bimbang dengan keselamatan kami sekarang," tambahnya.
Waythamoorthy juga berkata, ada kemungkinan beliau dan Uthayakumar akan ditangkap sebelum perhimpunan Ahad ini.
(Foto serbuan ke pejabat guaman Uthayakumar di Kuala Lumpur.)