Polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung dakwaan laporan Bloomberg mengenai campur tangan perdana menteri dalam urusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said memaklumkan siasatan polis terhadap Bloomberg dimulakan selepas laporan dibuat oleh SPRM.
"Berkenaan perkembangan terkini berhubung tindakan undang-undang terhadap agensi berita Bloomberg, berdasarkan input yang saya telah terima daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), SPRM telah pun membuat laporan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan kertas siasatan oleh pihak PDRM telah dikemukakan kepada AGC untuk tindakan lanjut,” kata Azalina dalam jawapan bertulis parlimen kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, yang meminta maklumat terkini berkenaan kes itu.
Ketua Penerangan PAS itu berkongsi salinan jawapan Azalina kepada Malaysiakini selepas jawapan tersebut tidak dimasukkan dalam dokumen rasmi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Dewan Rakyat.

Dalam jawapannya, Azalina turut menegaskan kerajaan kekal komited mempertahankan hak rakyat terhadap kebebasan bersuara seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Namun, katanya hak itu tidak bersifat mutlak dan sebarang dakwaan fitnah boleh disiasat pada bila-bila masa di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana tiada had masa ditetapkan bagi siasatan seumpama itu.
Menteri itu turut merujuk kepada penubuhan Akta Majlis Media Malaysia 2025, dengan menyatakan sebarang isu berhubung laporan media, termasuk kebimbangan terhadap etika kewartawanan, boleh dibawa ke majlis tersebut sebagai badan kawal selia.
Dakwaan terhadap Anwar dan SPRM
Pada September tahun lalu, Bloomberg menerbitkan laporan memetik sumber yang mengaitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam dakwaan “penyalahgunaan kuasa siasatan secara terancang”, membabitkan siasatan yang disasarkan oleh SPRM.
Dakwaan penganiayaan politik itu dilaporkan tertumpu kepada bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin, yang mana balunya, Na’imah Abdul Khalid telah membuat laporan polis terhadap Anwar berhubung dakwaan tersebut.
Bagaimanapun, polis dan AGC kemudiannya mengklasifikasikan laporan Na’imah sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA).
Laporan Bloomberg bertarikh 26 September juga mendakwa Anwar telah mengarahkan Azam supaya tidak menyiasat bekas pembantunya Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berhubung pembelian sahamnya dalam HeiTech Padu Bhd.
Syarikat perkhidmatan teknologi itu dikaitkan dengan pembangunan sistem imigresen kerajaan bernilai RM1 bilion.
Farhash dan dakwaan lombong Sabah
Baru-baru ini, Farhash sekali lagi menjadi tumpuan umum apabila sebuah syarikat yang dikaitkan dengannya didakwa memperoleh lesen penerokaan daripada syarikat milik kerajaan negeri, Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM).
Farhash menafikan dakwaan itu dan telah mengeluarkan surat “cease and desist” terhadap portal MalaysiaNow berhubung artikel yang membawa dakwaan tersebut.

Lesen penerokaan mineral Sabah menjadi subjek kepada skandal rasuah berskala besar, selepas beberapa Adun termasuk menteri negeri, dirakam dalam video sedang membincangkan dakwaan suapan bersama ahli perniagaan Albert Tei, yang kemudian tampil sebagai pembocor maklumat.
Dua ahli politik Sabah — Pembantu Menteri Negeri, Andi Suryady Bandy dan Pengerusi Qhazanah Sabah, Yusof Yacob — telah didakwa menerima rasuah sebanyak RM350,000 daripada Tei, yang turut didakwa atas tuduhan memberi rasuah.
Semalam, Ahli Parlimen PAS, Shahidan Kassim menggesa Dewan Rakyat agar membahaskan dakwaan terhadap Farhash, yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Anwar sebelum beliau dilantik sebagai perdana menteri.
