MIC gesa kaum India jangan hadiri perhimpunan Hindraf
MIC hari ini menggesa masyarakat India supaya tidak menghadiri perhimpunan anjuran Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) di luar bangunan Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur hujung minggu ini.
Gesaan itu dibuat oleh Setiausaha Agung MIC, S Subramaniam dan Ketua Pemuda MIC, S Vigneswaran dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Bulan lalu, Hindraf memfailkan saman terhadap kerajaan British kerana didakwa gagal untuk melindungi hak masyarakat minoriti India apabila merangka Perlembagaan Persekutuan 50 tahun lalu.
Saman itu menyebut, kegagalan kerajaan British itu telah menyebabkan masyarakat India kekal menjadi masyarakat yang dijajah di bawah kerajaan Malaysia.
Perhimpunan tersebut, yang menurut pihak penganjurkan akan dihadiri oleh kira-kira 100,000 orang, juga akan menyaksikan penyerahan satu petisyen kepada Ratu Elizabeth II.
Petisyen itu meminta baginda membantu memastikan Hindraf mendapatkan peguambela di United Kingdom untuk mengemukakan kesnya di mahkamah British.
Vigneswaran pula menggesa masyarakat supaya "berfikir dengan jelas sebelum membuat keputusan" untuk menghadiri perhimpunan tersebut, di mana maklumat terperinci mengenainya diedarkan melalui SMS (perkhidmatan pesanan ringkas).
'Boleh cetus kekacauan'
Ketua Pemuda MIC itu berkata , Hindraf bertindak secara "amat tidak bertanggungjawab" dengan memberitahu rakyat supaya jangan bimbang mengenai polis atau keperluan untuk mendapatkan permit.
"Kita bimbang perhimpunan tersebut akan mencetuskan kekacauan. Rakyat akan menjadi mangsa perhimpunan haram tersebut. Jadi, kita berharap rakyat akan menolak cadangan yang negatif dan berpegang kepada yang positif," katanya.
"Suruhanjaya Tinggi British ditutup pada hari Ahad, Hindraf mendakwa mereka mahu menunjukkan kepada suruhanjaya tinggi itu bahawa masyarakat India bersatu dalam memperjuangkan nasib mereka. Dan dakwaan mereka bahawa setiap seorang kaum India akan menerima wang jika mereka menang dalam kes tersebut adalah satu pembohongan," tambahnya.
Menurut Vigneswaran lagi, perhimpunan hanyalah bertujuan untuk meningkatkan sokongan kepada pembangkang.
"Apa gunanya perhimpunan tersebut? Tidak ada negara lain yang boleh mengambil tindakan terhadap Malaysia kerana ia adalah sebuah negara yang berdaulat. Dan mengenai janji mereka untuk membawa perubahan kepada masyarakat India, tiada siapa yang boleh membawa perubahan kecuali kerajaan," katanya.
Perlu visi jelas
Beliau juga menggesa masyarakat India supaya tidak melupakan sumbangan kerajaan kepada mereka selama ini.
"Kita percaya, masalah boleh diselesaikan dengan menggunakan wadah yang sedia ada dalam sistem kita. Di manakah Hindraf selama ini? Hanya kerana pilihanraya sudah hampir tiba, maka mereka cuba membangkitkan isu-isu sekarang," tambahnya.
Sementara itu, Subramaniam berkata, perhimpunan yang dirancang itu hanyalah satu percubaan untuk mengelirukan rakyat dan mendapatkan sokongan untuk pembangkang.
"MIC memandang berat (perhimpunan ini) diadakan secara yang tidak bertanggungjawab. Hindraf tidak memikirkan akibatnya. Mereka boleh memarakkannya tetapi tidak menghentikannya," katanya, sambil menambah bahawa beliau tidak pasti siapakah yang akan menghentikan perkara yang dimulakan oleh Hindraf itu.
Sehubungan itu, Vigneswaran berkata, kerajan tidak menentang aktivisme sosial tetapi menggesa para aktivis supaya menjadi lebih bertanggungjawab.
"Mereka mesti ada visi dan misi yang jelas mengenai apa yang mereka rancang mahu lakukan. Kita bimbang Hindraf kurang visi ini," tambahnya.