Eric See-To, bekas timbalan pengarah komunikasi strategik BN, menyindir pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan mengaitkannya kepada frasa terkenal bekas perdana menteri, Najib Abdul Razak, yang kini dipenjara.
Mengingatkan bahawa hari ini hari jadi Najib, See-To berkata bahawa pemberian tunai RM100 oleh Anwar mengesahkan “apa yang pernah dihina dulu - cash is king (wang tunai adalah raja)”.
Terdahulu Anwar mengumumkan bahawa semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan menerima RM100 sekali sahaja untuk membeli barangan runcit dan keperluan rumah.
Menjelang PRU 2018, Dr Mahathir Mohamad pernah mengkritik Najib dengan frasa "cash is king", mendakwa dia menggunakan bantuan kerajaan dan insentif kewangan untuk membeli kesetiaan politik dan membungkam suara pembangkang.
Frasa itu menjadi sindiran simbolik dalam kempen Pakatan Harapan untuk mencemarkan reputasi Najib di tengah skandal 1MDB.
Pada 2019, Najib mengesahkan bahawa dia pernah menjelaskan kepada Mahathir dalam perbualan peribadi berkaitan "cash is king" semasa pertemuan mereka.
Dalam forum "Hard Truth: Cash is king", bekas perdana menteri itu mendakwa Mahathir salah faham maksud frasa tersebut kerana “king” itu sebenarnya merujuk kepada rakyat.
3 tahun di belakang tirai besi
Sementara itu, satu mesej di laman Facebook rasmi Najib mengucapkan selamat hari lahir kepada bekas perdana menteri itu yang menyambut hari lahirnya yang ketiga di belakang tirai besi.
“Salam ulang tahun kelahiran buat Datuk Seri Najib Razak. Moga terus diberikan ketabahan dan kesihatan dalam menghadapi segala ujian.
“Percayalah, keadilan tetap akan muncul pada waktunya,” menurut status itu.
Penyokong Umno dan Najib percaya bekas perdana menteri itu tidak mendapat perbicaraan yang adil bawah kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Mahathir.
Najib sedang berusaha untuk menguatkuasakan titah tambahan diraja yang membenarkannya menghabiskan hukuman penjara–yang dikurangkan dari 12 kepada enam tahun–di rumah
