Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Laungan “turun” kedengaran dari ahli-ahli Parlimen pembangkang sebagai merujuk kepada perhimpunan akan datang yang menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan.

Ini sejurus Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, menangguhkan sidang hari ini, selepas perbahasan panjang dan sesi penggulungan Laporan Ketua Audit Negara 2025 Siri 2.

Walaupun tidak jelas siapa dalam kalangan Ahli Parlimen PN yang terlibat dalam laungan tersebut namun antara yang kelihatan berada di dalam dewan pada akhir sidang hari ini termasuk Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), dan Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah).

Protes “Himpunan Turun Anwar” yang dijadualkan berlangsung pada jam 2 petang di pusat bandar Kuala Lumpur pada hari Sabtu ini merupakan kemuncak kepada siri demonstrasi kecil yang dianjurkan oleh PAS dan Perikatan Nasional, yang menuntut perletakan jawatan Anwar.

Terdahulu hari ini, Bernama melaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Usuf Jan Mohamad berkata pihak polis telah menerima 60 laporan berkenaan perhimpunan tersebut.

Dia menjangkakan jumlah peserta sekitar 10,000 hingga 15,000 orang, terdiri daripada gabungan NGO, pelajar dan orang awam.

Jabatan Peguam Negara (AGC) pula mengeluarkan amaran kepada penjawat awam agar tidak menyertai perhimpunan tersebut, menyatakan mereka tertakluk kepada undang-undang yang mengehadkan hak untuk berbuat demikian.

AGC berkata penjawat awam tertakluk kepada Sumpah Jawatan seperti yang diperuntukkan dalam subperaturan 20(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012.

Isnin lalu, Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan penjawat awam agar tidak mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut.

Namun begitu, Pengarah NGO Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek menggesa penjawat awam supaya mengabaikan amaran Shamsul dan menyifatkan arahan itu sebagai “tidak sah di sisi undang-undang”.

Dia berkata LFL juga bersedia memberikan bantuan guaman kepada penjawat awam yang dikenakan tindakan kerana menyertai perhimpunan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS