Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perkembangan semasa siasatan dan usaha menuntut keadilan bagi kes mendiang Teoh Beng Hock mencetuskan reaksi berbeza pelbagai pihak, bahkan turut mengheret perdebatan adakah ia akan memberi kesan kepada kerajaan, khususnya pengaruh DAP serta PH.

Malaysiakini cuba menyorot persoalan itu dari sudut pandang pemerhati politik dalam mencerakinkan perbahasan sejauh mana perkembangan kes berkenaan memberi impak politik.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Mazlan Ali, menanggapi betapa kes Beng Hock mempunyai nilai sentimental khususnya kepada masyarakat Cina dan menjadi laba politik (political mileage) kepada DAP dan PH semasa era pemerintahan BN.

"Isu ini agak sentimental khususnya kepada masyarakat Cina kerana berlaku ketika pemerintahan BN, dan pembangkang pada masa itu memang menggunakan isu tersebut untuk meraih simpati.

"Justeru naratif yang dimainkan mereka ialah usaha memperjuangkan keadilan untuk mendiang.

"Kita nampak ketara isu kematian Beng Hock dipolitikkan dan memang DAP salah satu parti pembangkang ketika itu mendapat laba politik yang besar daripada isu berkenaan.

"Sekarang kerajaan PH - yang ada DAP di dalamnya - perlu menangani isu kematian Beng Hock dengan teliti.

"Jika tidak, ada kemungkinan pihak lain akan menggunakan kembali naratif berkenaan untuk menyerang kerajaan Madani," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, semalam.

Mazlan Ali

Mazlan berkata demikian ketika ditanya sejauh mana perkembangan kes berkenaan akan menjejaskan pengaruh dan sokongan terhadap DAP dan PH.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan lebih 40 kumpulan belia memberi amaran bahawa cara kerajaan mengendalikan kes Beng Hock akan memberi kesan kepada pilihan raya umum akan datang.

Ia selepas keluarga Beng Hock membalas penghormatan DAP terhadap mereka — susulan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan tiga pemimpin parti lain tunduk sebagai tanda "hormat dan dukacita" kepada keluarga tersebut semasa sidang media pada 17 Julai lalu.

Namun begitu, adik Beng Hock, Teoh Lee Lan, memberi reaksi tegas terhadap cadangan DAP supaya keluarga terbabit mempertimbangkan untuk menerima pampasan daripada kerajaan.

Perlu ditangani dengan baik

Dia mengingatkan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim pernah berjanji untuk memberikan laporan penuh siasatan kepada keluarga selepas semua siasatan selesai.

Terdahulu sempena ulang tahun ke-16 kematian misteri Beng Hock, SPRM buat pertama kalinya mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga mendiang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki turut mengumumkan kesediaan agensi antirasuah itu memberikan “sumbangan ihsan” kepada keluarga Beng Hock, khususnya bagi menyokong kebajikan dan keperluan pendidikan anak tunggal mendiang.

Keluarga mendiang bagaimanapun menolak permohonan maaf dan sumbangan kewangan SPRM yang disifatkan tidak ikhlas, sambil menegaskan bahawa mereka mahukan keadilan untuk kematian misteri itu, bukannya wang ringgit.

Mazlan yang juga pensyarah kanan Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM berkata, isu tuntutan keadilan kematian Beng Hock itu tidak akan memberi kesan besar terhadap sokongan kepada DAP dan PH.

Namun dia tidak menolak kemungkinan bahawa pengaruh terhadap kerajaan sedikit sebanyak akan terjejas.

"Adakah isu Beng Hock boleh menggugat sokongan terhadap kerajaan PH? Saya tidak kata ia akan meruntuhkan (kerajaan), tetapi ada pengaruhnya sedikit.

"Isu ini perlu ditangani dengan baik kerana bagi masyarakat Cina, mereka berpegang kepada keyakinan bahawa Beng Hock perlu diberikan keadilan.

"Barangkali ia akan mempengaruhi sentimen, tetapi saya tidak mengatakan kerajaan Madani akan mengabaikan isu ini.

"Saya rasa perdana menteri akan memberikan perhatian yang baik dan jika pun ada kemarahan dan ketidakpuasan hati, ia tidak akan menjadi faktor mendorong penolakan besar-besaran masyarakat Cina terhadap kerajaan Madani," katanya.

Berisiko dilabel oportunis

Menurut bacaan Mazlan, ada banyak isu besar lain bagi masyarakat Cina untuk mereka kekal memberi sokongan kepada DAP dan kerajaan, seperti aspek kestabilan politik dan ekonomi yang baik.

Katanya, faktor itu juga menjadi pertimbangan bagi masyarakat Cina.

Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Awang Azman Awang Pawi, berkata persoalan sejauh mana kes berkenaan menjejaskan sokongan terhadap PH —khususnya DAP — harus dilihat dalam konteks realiti politik semasa.

Jelasnya, dalam konteks implikasi moral dan persepsi kritikan terhadap DAP yang dilihat kurang lantang berbanding ketika menjadi pembangkang dahulu, ia boleh menghakis kepercayaan teras penyokong tegar, terutamanya dalam kalangan pengundi bandar dan pertengahan.

"Jika DAP gagal menampilkan konsistensi moral, ia berisiko dilabel oportunis, bukan reformis.

"Namun, impak terhadap sokongan besar-besaran masih terhad kerana majoriti rakyat sekarang lebih tertumpu kepada isu seperti kos sara hidup, subsidi, dan ekonomi harian.

"Ini bermakna kes Beng Hock lebih memberi kesan secara simbolik dan psikologi kepada sekelompok kecil pengundi berprinsip, bukan secara menyeluruh terhadap jentera sokongan PH," katanya.

Awang Azman Awang Pawi

Tambah Awang Azman, peluang pemulihan tetap terbuka kerana komitmen DAP yang berterusan menuntut keadilan, serta kesediaan kerajaan membuka semula kes jika ada bukti baru.

Pendirian itu, katanya, memberi ruang untuk kerajaan - khususnya PH - memulihkan kepercayaan segmen tertentu pengundi.

Namun, tambah Awang Azman, naratif keadilan mesti digabungkan dengan tindakan nyata, bukan sekadar kenyataan politik.

Ahli akademik itu bagaimanapun memujian tindakan Loke dan DAP yang dilihat menunjukkan sifat terpuji, berani, tulus dan telus menangani kes Beng Hock.

"Ini menjadi peluang untuk memperkukuh integriti politik. Loke juga memberitahu keluarga Beng Hock yang mereka bebas untuk terus menuntut keadilan dan bersuara mengenai insiden tersebut, malah menjanjikan sokongan berterusan DAP termasuk bantuan guaman.

"Tindakan tersebut memperlihatkan kesungguhan DAP, kerana jika tidak, ia akan menjadi simbol penafian atau kegagalan menunaikan janji reformasi — dan itu akan dibayar dengan kehilangan sokongan.

"Ia mungkin bukan hari ini, tetapi untuk jangka panjang dalam konteks pilihan raya," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS