Peguam kepada ahli perniagaan Albert Tei membidas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran kerana menyamakan perlindungan pemberi maklumat dengan permohonan pinjaman bank.
Menurut Mahajoth Singh, ia perbandingan yang memperlekeh perlindungan undang-undang yang amat penting.
“Dengan segala hormat, ini semua mengarut,” kata Mahajoth kepada Malaysiakini.
Dia menegaskan bahawa perlindungan pemberi maklumat bukan transaksi komersial tetapi mekanisme undang-undang demi kepentingan awam, digubal oleh parlimen dan penting dalam memerangi rasuah.
“Menyamakan perlindungan pemberi maklumat dengan pinjaman bank bukan sahaja mengelirukan, malah memperlekeh undang-undang dan merosakkan keyakinan awam terhadap institusi yang sepatutnya mempertahankannya.
“Sikap kerajaan sendiri cukup menggambarkan keadaannya.
“Sepatutnya kerajaan bersikap proaktif, sekurang-kurangnya menghulurkan tangan kepada pemberi maklumat yang mahu membantu membongkar rasuah peringkat tertinggi. Sebaliknya, hanya diberikan analogi sinis seolah-olah ini hanyalah permohonan pinjaman,” katanya.

Mahajoth berkata kenyataan Kulasegaran itu “mengelirukan” apabila merujuk kepada “prosedur sedia ada seolah-olah termaktub dari azali”, selain “kefahaman undang-undang yang sangat cetek”.
“Biar saya ingatkan timbalan menteri bahawa Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 sedang dipinda. Malah, kamu sendiri baru sahaja berucap di parlimen untuk membahaskannya. Harap kamu sedar bahawa reformasi bermakna ada sesuatu yang perlu diperbaiki. Jadi, apakah sebenarnya ‘prosedur suci’ yang kamu maksudkan itu?
“Tetapi yang paling membimbangkan adalah percanggahan ketara dalam kenyataannya sendiri. Baru beberapa hari lalu, dia berjanji bahawa kerajaan ‘tidak akan berkompromi’ dalam kes ugutan. Kini tiba-tiba disamakan pula dengan permohonan pinjaman bank? Mana satu yang betul?” tambahnya.
Mahajoth juga menolak kefahaman Kulasegaran bahawa anak guamnya perlu terlebih dahulu memberikan maklumat, kemudian barulah, selepas “penilaian yang kabur”, pertimbangan akan dibuat sama ada perlindungan akan diberikan.
“Itu bukan apa yang dinyatakan dalam undang-undang,” katanya.
Mahajoth menggesa timbalan menteri itu merujuk semula kepada Seksyen 2, 6 dan 7 Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, atau jika “masih tidak jelas”, mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam negara.
“Sangat membimbangkan apabila seorang timbalan menteri undang-undang yang baru sahaja membentangkan pindaan akta ini sendiri kelihatan tidak memahami struktur asas dan tujuan undang-undang tersebut.
“Jadi sekali lagi saya tanya; adakah anak guam saya akan diberikan perlindungan pemberi maklumat atau adakah isu ini, seperti banyak kes lain, akan disenyapkan hanya kerana melibatkan individu berprofil tinggi?” katanya.
Semalam, Kulasegaran berkata bahawa pemberi maklumat mesti mengikut “prosedur yang ditetapkan” seperti memohon pinjaman bank.
Dia berkata demikian sebagai respons kepada permintaan Mahajoth sebelum ini agar Tei diberi perlindungan terlebih dahulu sebelum mendedahkan identiti seorang pegawai SPRM berpangkat tinggi yang didakwa mengugutnya supaya tidak membuat laporan berhubung skandal perlombongan di Sabah.
Permintaan Mahajoth itu dibuat selepas Kulasegaran menggesa Tei membuat laporan polis dan menamakan pegawai itu, sambil memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ugutan dan akan mengambil tindakan paling tegas jika dakwaan itu benar.
