Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kami mahu reformasi institusi bukan Langkah Sheraton 2.0 - Gabungan NGO
Diterbitkan:  Jul 25, 2025 12:43 PM
Dikemaskini: 4:43 AM

Selepas dikaitkan dengan himpunan Turun Anwar yang dijadual esok, gabungan badan bukan kerajaan (NGO) tampil menegaskan pendirian bahawa ketidakstabilan politik akan merencatkan usaha reformasi institusi.

Dalam satu kenyataan bersama, Bersih, C4 Center, IDEAS, Projek Sama, Pusat Komas dan Transparency International Malaysia, berkata tumpuan mereka adalah reformasi institusi untuk menyediakan gelanggang yang sama rata untuk semua parti dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.

Gabungan NGO itu memetik Langkah Sheraton pada 2020 yang menurut mereka hanya akan menyebabkan ketidakstabilan politik negara.

“Reformasi institusi akan terbunuh sekiranya politik negara tidak stabil.

“Disebabkan tiada pihak yang sentiasa menang, reformasi institusi menguntungkan semua parti dalam persaingan jangka panjang dan seharusnya didukung oleh semua parti.

“Atas dasar ini, kami menolak perubahan kerajaan pada pertengahan penggal melalui pintu belakang seperti Langkah Sheraton yang mengucar-ngacirkan politik negara di tengah-tengah pandemik Covid-19,” kata mereka.

Tambah mereka pertukaran kerajaan tidak menjamin kerajaan seterusnya akan memberi komitmen yang jelas untuk melakukan reformasi institusi, atau terlalu rapuh untuk melakukan sebarang perubahan yang bermakna.

Gabungan NGO itu mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dalam satu sidang media semalam yang mengaitkan mereka dengan himpunan Turun Anwar di ibu negara esok.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut merangkap Timbalan Presiden Bersatu dalam sidang media di Parlimen semalam memberitahu ada pelbagai pihak yang datang bertemu dengan mereka untuk berkongsi rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.

Antaranya, kata Hamzah, ialah pertubuhan sivil dan NGO seperti Bersih, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), dan Transparency International Malaysia.

Bagaimanapun, kenyataan gabungan NGO itu hari ini menjelaskan bahawa pertemuan tersebut tidak mempunyai agenda yang khusus dan merupakan peluang untuk mereka mengajukan cadangan-cadangan reformasi institusi yang penting agar diangkat oleh PN, khususnya Hamzah sebagai ketua pembangkang.

Mereka menekankan bahawa pembangkang juga memikul beban tanggungjawab kepada rakyat untuk semak dan imbang kepada kerajaan demi kebaikan negara.

“Hanyalah apabila semua pihak berlumba-lumba untuk menawarkan reformasi, baru reformasi mungkin dipacu dan dipandu dengan berkesan,” kata mereka.

“Kami sekali lagi menegaskan bahawa semua pihak, terutama kerajaan dan pembangkang perlu mengangkat agenda reformasi yang tulen,” tambah mereka.

Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebelum ini berkata himpunan Turun Anwar bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan, sebaliknya sekadar menuntut peletakan jawatan Anwar sebagai perdana menteri.

Polis Kuala Lumpur menjangkakan antara 10,000 hingga 15,000 peserta akan menyertai Himpunan Turun Anwar esok.

Pemimpin PN menjangkakan penyertaan ratusan ribu, malah Hamzah meramalkan hingga sejuta akan hadir.

Perdana menteri sebelum ini mengarahkan polis agar memberikan kerjasama bagi memastikan himpunan itu berlangsung dengan aman, lancar dan tanpa sebarang intimidasi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS