Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Farhash bakal terima ‘Datuk Seri’ dari Pulau Pinang
Diterbitkan:  Jul 25, 2025 4:19 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim Farhash Wafa Salvador bakal menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) daripada Pulau Pinang yang membawa gelaran Datuk Seri.

Penganugerahan itu dibuat sempena hari ulang tahun ke-84 Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Ramli Ngah Talib.

Istiadat penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri Pulau Pinang akan berlangsung mulai esok sehingga 30 Julai.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Majlis-majlis Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang Law Choo Kiang hari ini.

Farhash dianugerahkan darjah kebesaran itu susulan kapasitinya sebagai pengerusi eksekutif MMAG Holdings Berhad

Pihak lain dalam senarai penerima DDPPN adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang Mohd Yussof Abdul Latiff

Buku program acara menyatakan Farhash diberikan darjah kebesaran itu susulan penglibatannya dalam bidang korporat.

Pada tahun ini seramai 150 orang akan menerima penganugerahan darjah kebesaran manakala 1,380 orang bakal menerima bintang dan pingat kehormatan.

Mereka terdiri daripada anggota perkhidmatan awam negeri dan persekutuan, ahli politik, ahli korporat, anggota pertubuhan bukan kerajaan, usahawan-usahawan tempatan dan ahli-ahli badan sukarelawan. 

Penganugerahan itu kebetulan berlaku di tengah-tengah tuduhan bahawa Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd memberikan kuasa kepada syarikat yang dikaitkan dengannya untuk menjalankan penerokaan mineral di kawasan hutan simpan Sabah seluas 70,000 hektar.  

Pada 21 Julai, SMM dan Farhash menafikan tuduhan tersebut. Farhash juga mengeluarkan surat peguam terhadap MalaysiaNow kerana menerbitkan dakwaan tersebut.  

Hari ini, SMM mengaku memberikan kebenaran bersyarat kepada Bumi Suria untuk memohon lesen penerokaan, yang kemudiannya dibatalkan setelah syarikat itu gagal menyerahkan dokumen yang diperlukan.  

SMM menuduh MalaysiaNow membuat liputan berat sebelah sambil mengumumkan rancangan untuk memulakan tindakan fitnah terhadap portal berita itu, serta pihak lain yang menerbitkan semula tuduhan tersebut.  

Semalam, MalaysiaNow menerbitkan video enam minit mengandungi rakaman audio yang dikatakan melibatkan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dalam kontroversi ini.  

Lesen penerokaan mineral Sabah menjadi subjek skandal rasuah besar-besaran, setelah beberapa anggota Dewan Undangan Negeri, termasuk menteri-menteri negeri, ditangkap dalam video membincangkan rasuah yang didakwa dengan ahli perniagaan Albert Tei - yang kemudiannya mendedahkan urusan tersebut.  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS