Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengalihkan persoalan mengenai permintaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memadamkan video MalaysiaNow kepada suruhanjaya tersebut.
"Boleh rujuk dengan MCMC," katanya ringkas dalam satu sidang media di kementeriannya hari ini.
Kenyataan itu susulan laporan MalaysiaNow yang mendakwa video berdurasi enam minit yang memuatkan rakaman audio — kononnya mengaitkan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dalam satu kontroversi berkaitan bekas pembantu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak — telah disekat di Facebook selepas menerima permintaan undang-undang daripada MCMC.
Rakaman tersebut dikaitkan dengan dakwaan bahawa sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan Farhash, Bumi Suria Sdn Bhd, telah dianugerahkan lesen eksplorasi perlombongan di Sabah melibatkan kawasan seluas 70,000 hektar di Hutan Simpan Kalabakan dan Gunung Rara berhampiran sempadan Kalimantan.
Kawasan itu hampir tiga kali ganda keluasan Kuala Lumpur.
Pada 21 Julai lalu, Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) dan Farhash menafikan dakwaan berkenaan, malah Farhash turut mengeluarkan surat amaran berhenti dan henti siar (cease and desist) terhadap MalaysiaNow kerana menyiarkan tuduhan tersebut.
Terdahulu hari ini, SMM mengakui telah memberikan kebenaran bersyarat kepada Bumi Suria untuk memohon lesen penerokaan lombong namun kelulusan itu kemudiannya dibatalkan selepas syarikat tersebut gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan.
SMM turut menuduh MalaysiaNow bersikap berat sebelah dalam liputannya dan mengumumkan rancangan untuk memulakan prosiding saman fitnah terhadap portal itu serta mana-mana pihak lain yang menyiarkan semula tuduhan tersebut.
Lesen pencarigalian mineral di Sabah kini menjadi tumpuan dalam satu skandal rasuah besar, selepas beberapa wakil rakyat termasuk menteri negeri dirakam berbincang tentang dakwaan rasuah bersama ahli perniagaan Albert Tei — yang kemudiannya tampil sebagai pemberi maklumat mengenai urus niaga terbabit.
