Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tragedi di Perhentian: Keluarga mangsa dakwa pemandu bot cuai

Empat keluarga mangsa tragedi bot karam di perairan Pulau Perhentian tampil menafikan dakwaan mereka telah diberi amaran mengenai keadaan cuaca buruk sebelum menaiki bot, sambil menegaskan tragedi yang meragut tiga nyawa itu berpunca daripada kecuaian serta kelalaian pengendali bot.

Pada satu kenyataan bersama kepada Malaysiakini, keluarga berkenaan melahirkan kekesalan terhadap laporan media yang memetik kenyataan pemandu bot kononnya mereka enggan mendengar nasihat keselamatan.

"Baru-baru ini kami dapat tahu bahawa pemandu bot tersebut telah mengeluarkan kenyataan kepada media, kononnya beliau telah memberi amaran awal mengenai cuaca buruk dan bahawa kami yang menggesa untuk meneruskan perjalanan. Namun, kenyataan tersebut adalah tidak benar."

"Sepanjang masa, tiada sebarang amaran atau nasihat keselamatan berkaitan cuaca dan keadaan laut disampaikan kepada kami, dan kami juga tidak pernah mendesak atau berdegil untuk meneruskan perjalanan dalam keadaan berkenaan."

"Sebaliknya, kami bergantung sepenuhnya kepada penilaian pemandu bot yang sepatutnya lebih arif akan keadaan laut dan bertindak profesional," jelas kenyataan itu.

Sebelum ini, Pengerusi JPKK Kampung Pulau Perhentian, Nik Zawawi Mohd Nor dipetik Sinar Harian berkata pemandu bot terbabit telah memberi nasihat kepada penumpang untuk menangguhkan perjalanan pulang, namun ia tidak diendahkan.

"Pemandu bot ada memaklumkan bahawa dia telah menasihati penumpang supaya menangguhkan perjalanan pulang atas faktor keselamatan, namun mereka tetap mahu balik ke resort," katanya.

Katanya, perjalanan dari Long Beach ke Pulau Perhentian Besar itu mengambil masa sekitar 10 minit sahaja dan tragedi dipercayai berlaku kerana ombak besar yang melanda secara tiba-tiba.

"Kalau mereka boleh tunggu dalam dua hingga tiga jam lagi mungkin tragedi ini tidak berlaku."

"Lagipun ramai penumpang lain yang terkandas mereka sanggup tunggu lama semata-mata mahu pastikan cuaca benar-benar pulih."

"Malangnya dalam insiden ini, bot itu terbalik kerana dihempas ombak besar, hanya beberapa meter dari resort yang mereka duduk," ujar beliau.

Namun, versi cerita Nik Zawawi ini dinafikan sepenuhnya oleh keluarga mangsa yang turut mendedahkan mereka berulang kali meminta jaket keselamatan sebaik menaiki bot namun permintaan itu ditolak.

"Permintaan ini dibuat atas dasar keselamatan, memandangkan sepanjang aktiviti di perairan sebelum itu, kami amat menitikberatkan pemakaian jaket keselamatan untuk semua orang termasuk orang dewasa."

"Namun begitu, permintaan kami telah ditolak oleh pemandu bot dengan memberikan beberapa alasan, antaranya bahawa jaket-jaket tersebut basah dan perjalanan adalah singkat sahaja."

"Beliau juga menunjukkan terdapat bot-bot lain yang sedang berlayar berhampiran, di mana para penumpangnya tidak memakai jaket keselamatan, seolah-olah menggambarkan bahawa ia adalah amalan biasa dan tidak membahayakan," jelas mereka.

Untuk rekod, insiden pada 29 Jun itu mengorbankan S Arumugam, 40, anak perempuannya A Sarrvihka, 3, dan saudara perempuan V Vennpani, 10.

Dua lagi mangsa cedera manakala 10 yang lain terselamat dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar selepas makan malam.

Siasatan polis mendedahkan pemandu bot terbabit didapati positif dadah dan mempunyai lima rekod lampau berkaitan penyalahgunaan bahan terlarang.

Mengulas lanjut, keluarga mangsa menyeru agar perhatian diberikan kepada pembaikan sistem keselamatan bagi mengelakkan tragedi serupa berlaku lagi.

"Harapan kami, tidak ada sesiapa lagi yang perlu mengalami pengalaman seram dan kesedihan seperti yang kami alami.

"Kesedihan dan trauma ini terlalu berat untuk ditanggung dan tiada keluarga lain sepatutnya mengalami tragedi yang sama," luah mereka lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS