Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff gagal dalam tuntutan saman fitnahnya terhadap Siti Fatihah Salahuddin, bekas setiausaha sulit kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam memutuskan tuntutan tersebut ditolak dan Kamarul Zaman diperintah membayar kos RM13,000 kepada Siti Fatihah. Keputusan dibuat oleh Hakim Norakhmar Mohd Sani melalui platform e-review.
Saman tersebut difailkan selepas Siti Fatihah – yang juga anak kepada bekas Timbalan Presiden Amanah, Allahyarham Salahuddin Ayub – membalas kenyataan Facebook Kamarul Zaman bertarikh 8 Mei 2020, yang mempertikai kredibiliti Yang di-Pertua Dewan Rakyat ketika itu, Mohamad Ariff Md Yusof.
Siti Fatihah memberikan respons keesokan harinya, yang kemudian dijadikan asas saman oleh plaintif.
Kamarul menuntut antara lain ganti rugi RM2 juta dan permohonan maaf secara terbuka daripada defendan.
Namun, menurut peguam Siti Fatihah – Mohd Khainis Yussof dan Nur Amalina Rashidi – kenyataan anak guam mereka itu reaksi bertanggungjawab yang menyentuh isu kepentingan awam.
“Kenyataan Siti Fatihah bersabit perkara yang melibatkan kepentingan awam, iaitu tindakan plaintif yang mempertikaikan dan mempersoalkan kredibiliti Tan Sri Datuk Mohamad Ariff sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Kenyataan Siti Fatihah dalam konteks penuh adalah benar dan mempunyai justifikasi,” kata mereka kepada Malaysiakini.
Peguam Mohd Harris Mohan Abdullah mewakili Kamarul Zaman dalam kes ini.
Setelah meneliti keseluruhan keterangan saksi dari kedua-dua pihak, dokumen-dokumen relevan serta hujahan bertulis, mahkamah akhirnya memutuskan untuk menolak tuntutan plaintif dan mengarahkan beliau membayar kos RM13,000 kepada pihak defendan.
