Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
LANGSUNG | Kira-kira 25,000 hadir himpunan Turun Anwar

LANGSUNG | Perhimpunan ‘Turun Anwar’ yang dianjurkan oleh Perikatan Nasional (PN) bermula petang ini di ibu negara.

Sejak pagi, peserta berkumpul di empat lokasi sekitar pusat bandar sebelum berarak menuju ke Dataran Merdeka bagi menuntut Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, meletakkan jawatan.

Pasukan Malaysiakini yang membuat liputan secara langsung terdiri daripada wartawan Hariz Mohd, Qistina Nadia Dzulqarnain, B Nantha Kumar, Tan Fu Qi, Annessa Tan dan Firdaus Hanafiah.


Lagu Negaraku dinyanyikan

5.15 petang: Dataran Merdeka – Peserta himpunan menyanyikan lagu Negaraku untuk menandakan berakhirnya perhimpunan.

Meski lidah rasmi PAS Harakahdaily menganggarkan 300,000 kehadiran setakat 3 petang tadi, berdasarkan laporan wartawan di lapangan, Malaysiakini menganggarkan kira-kira 25,000 menyertai perhimpunan hari ini.


Lebih 3,000 orang India sertai perhimpunan – presiden MIPP

4.50 petang: Dataran Merdeka – Lebih 3,000 orang India menyertai perhimpunan hari ini, kata Presiden Parti Rakyat India Malaysia P Punithan.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa tanpa mengira latar belakang kaum, setiap orang yang menghadiri perhimpunan itu mempunyai satu agenda yang sama – memohon peletakan jawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Sukar untuk mengesan 3,000 orang India dalam kalangan 300,000 orang yang hadir di sini hari ini.

"Tetapi kita tidak kisah sama ada orang India, Cina atau Melayu. Apa yang penting ialah rakyat Malaysia berkumpul di sini untuk menolak Anwar.

"Orang India sudah bosan dengan kerajaan sekarang dan mereka mahu dia berundur. Sentimen ini juga dikongsi oleh mereka di rumah," tambahnya.


4.40 petang: Dataran Merdeka - Kumpulan orang ramai yang berkumpul di satu sudut di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad mula bangun dan menuju ke tengah kawasan sebaik bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memulakan ucapannya.

Pemimpin berusia 100 tahun itu memulakan ucapannya dengan mencabar Anwar membawanya ke mahkamah berhubung isu Pulau Batu Puteh, cabaran yang sudah ditolak oleh perdana menteri itu sebelum ini.

“Negara kita ada mahkamah, hakim dan pendakwa raya. Tapi Anwar tak guna mahkamah, hakim atau pendakwa raya.

“Dia lantik dirinya sendiri sebagai hakim dan kata saya salah - tuduh saya gagal pertahan Pulau Batu Puteh.

“Jika saya salah, bawa saya ke mahkamah. Biar mahkamah putuskan,” katanya.

“Ketika saya jadi perdana menteri, saya tak pernah berlagak sebagai hakim,” tambahnya.


Peserta di Masjid Jamek mula bersurai

4.40 petang, Masjid Jamek - Tinjauan Malaysiakini mendapati sejumlah peserta yang berkumpul di sekitar Masjid Jamek dan Masjid India mula meninggalkan Dataran Merdeka.

Seorang peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Along memberitahu bahawa dia perlu beredar awal kerana perlu masuk bekerja.

"Saya kerja syif petang. Kena balik.

"Yang penting, kita datang hari ini tunjuk komitmen himpunan Turun Anwar," katanya.


Muhyiddin: Anwar tak tidur malam ini

4.30 petang: Dataran Merdeka - Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin menyelar pemberian bantuan wang yang diumumkan kerajaan untuk rakyat, dengan menegaskan bahawa bantuan itu hanya perlu diberikan kepada mereka yang berpendapatan rendah dan bukannya kepada semua orang.

"Saya orang kaya pun, dapat RM100. Tapi waktu pentadbiran kita dulu, kamu masih ingat? Kita buat pertimbangan yang B40 dapat lebih. Betul? Kalau dia (kerajaan) pandai kira, tak payahlah bagi yang M40 dan T20, sebaliknya beri RM300 kepada (golongan miskin)," katanya.

Pengerusi PN itu juga menambah bahawa perhimpunan hari ini menghantar mesej yang kuat kepada kerajaan, yang menurutnya akan membuat Anwar tidak akan tidur lena malam ini.


Lagu ‘Turun Anwar’ didendangkan

4.25pm - Dataran Merdeka - Pemimpin Bersatu Asyraf Mustaqim Badrul Munir dan rakan-rakannya menghiburkan orang ramai dengan lagu berjudul "Turun Anwar".

Bunyi siren kedengaran di kawasan itu tetapi puncanya setakat ini tidak jelas.


Dr M tiba di Dataran Merdeka

4.10 petang - Dataran Merdeka - Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tiba di tapak perhimpunan utama, memakai tshirt Turun Anwar, berjalan sendiri sambil diiringi oleh pengawal peribadi yang memegang lengannya.

Sukarelawan Unit Amal DBKL dan PAS bergerak membuka laluan kepada Mahathir, sambil orang ramai bersorak "Hidup Tun!"


Saifuddin: Kenapa senyap di Parlimen?

4.06 petang: Alor Setar – Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail mengkritik pembangkang berhubung perhimpunan di Kuala Lumpur hari ini.

Sambil menegaskan kerajaan menghormati kebebasan rakyat untuk berhimpun, dia menyindir pembangkang yang berdiam diri di Dewan Rakyat apabila perdana menteri sendiri mencabar mereka untuk membentangkan undi tidak percaya terhadapnya.

“Dalam Parlimen, perdana menteri dah buka seluas-luasnya peluang dan pembangkang boleh buat usul undi tak percaya.

“Dalam kes ini, perdana menteri kata usul pembangkang akan didahulukan, urusan kerajaan akan ditangguh dulu. Tapi sidang Parlimen dah lima hari, sunyi sepi,” kata Saifuddin seperti dilapor Bernama.


Lidah rasmi PAS dakwa 300,000 peserta hadir

4 petang - Kuala Lumpur: Lidah rasmi PAS Harakahdaily mendakwa setakat jam 3 petang, penganjur perhimpunan telah mencapai sasaran 300,000 peserta, sekali gus bercanggah dengan anggaran awal pihak polis. Sebelum ini, pemimpin PN mendakwa jumlah kehadiran peserta dijangka mencapai satu juta orang.

Dalam laporan langsung perhimpunan itu, portal itu mendakwa ribuan yang lain masih tiba ke Dataran Merdeka.

Secara berasingan, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan mendakwa lebih 500,000 orang hadir perhimpunan itu.

Berucap kepada orang ramai di Dataran Merdeka, Fadhli menggesa para peserta perhimpunan agar tidak mempercayai anggaran yang dipetik oleh media arus perdana, dan tidak berganjak meski hujan.

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden turut mendakwa angka sama.

Malaysiakini menganggarkan jumlah jumlah peserta sekitar 15,000 orang.


Lori bawa pentas dibenar masuk Dataran Merdeka

3.55 petang - Dataran Merdeka - Pemimpin perhimpunan parkir lori di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad selepas berjaya mendapatkan kebenaran pihak berkuasa untuk membawa masuk lori yang memuatkan pentas sementara itu.

Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham, yang juga Timbalan Ketua Sekretariat Himpunan Turun Anwar, meminta penunjuk perasaan duduk di atas jalan sambil pentas disiapkan untuk pemimpin berucap.

“Terima kasih kepada polis atas kerjasama mereka,” kata Hilman kepada Malaysiakini.

Antara tokoh lain yang dilihat di pentas itu termasuk Chegubard dan Ahli Parlimen PAS Siti Mastura Muhammad.

Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad antara yang dijangka menyertai perhimpunan itu tidak lama lagi


3.50 petang: Kuala Lumpur – Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin menyanyikan lagu untuk mengkritik pentadbiran Anwar, menekankan bagaimana Ahli Parlimen Tambun itu telah mengingkari janjinya untuk meringankan penderitaan rakyat.

Menyanyi mengikut rentak lagu kanak-kanak yang popular, "ABCD", antara lirik lagu itu:

“ABCDSST, Harga barang naik lagi, apa sudah terjadi, dengan janji Madani.

“ABDCSST, janji Madani janji dicapati, jangan tekan rakyat lagi, ini kerja PMX dan kroni.

“ABDCSST, Habis semua sistem kehakiman dan audit dicampuri,

“ABDCSST, PMX hancing menjadi-jadi, akhirnya rakyat juga dizalimi.


Peserta kini dianggar cecah 15,000 orang

3.40 petang - Dataran Merdeka - Jumlah peserta perhimpun pada ketika ini dianggarkan mencecah sekitar 15,000 orang.

Foto udara daripada pelbagai sumber menunjukkan orang ramai memenuhi keseluruhan kawasan padang yang menghadap bangunan lama Mahkamah Kuala Lumpur.

Pihak polis masih menghalang orang ramai daripada memasuki kawasan padang tersebut.


Polis beri kebenaran trak dijadikan pentas

3.25 pm - Dataran Merdeka: Polis memberi kebenaran kepada penganjur untuk membawa masuk trak yang akan jadikan sebagai pentas sementara.

Ini susulan rundingan antara pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin dan Hilman Idham, dengan pemangku ketua polis Kuala Lumpur.

Sukarelawan Unit Amal PAS membentuk rantai manusia bagi membolehkan trak itu dipandu masuk ke tempat perhimpunan utama.


Ucapan penuh bersemangat dari pemimpin politik, peguam

3.20 pm - Dataran Merdeka: Pekerja pembinaan yang berada di bangunan Sultan Abdul Samad yang sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian, memerhati perhimpunan hari ini dari atas tingkat bangunan tersebut.

Mereka juga berlindung daripada hujan yang semakin lebat, dengan awan gelap dan bunyi guruh kedengaran dari jauh.

Beberapa penceramah termasuk peguam Haniff Khatri Abdulla, Presiden Putra, Ibrahim Ali dan Setiausaha Agung Muda, Nurainie Haziqah terus menyampaikan ucapan penuh bersemangat.


Azmin turut ketuai peserta demo

2.50pm - Dataran Merdeka: Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali dan Setiausaha PN Selangor Dr Afif Bahardin memimpin penyokong mereka untuk menyertai peserta lain yang sudah berkumpul di kawasan itu, menjadikan jumlah peserta dianggarkan seramai 6,000 orang.

Mereka tetap tidak berganjak meskipun hujan mula turun.

Polis bagaimanapun meminta unit Amal PAS mengarahkan peserta perhimpunan supaya tidak berada di padang Dataran Merdeka.


Ribuan peserta perhimpunan tiba di Dataran Merdeka

2.30 pm - Kuala Lumpur: Ribuan peserta perhimpunan Turun Anwar tiba di Dataran Merdeka untuk menyertai orang ramai yang sudah berkumpul di lokasi akhir perhimpunan itu.

Dari Masjid Negara, ribuan peserta - termasuk pemimpin Bersatu, berarak selepas solat Zohor - sambil membawa sepanduk dan plakad serta melaungkan slogan.

Sekatan jalan raya yang dipasang oleh polis sebelum ini telah dibuka untuk membenarkan orang ramai masuk kawasan itu.

Seorang peserta perhimpunan dilihat memegang gambar bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Sekumpulan peserta memakai T-shirt Muda juga kelihatan dalam kalangan orang ramai.

Dari arah Sogo, lebih 3,000 orang termasuk pimpinan tertinggi PAS sedang bergerak ke Dataran, manakala kira-kira 1,000 orang pula tiba dari arah Pasar Seni.


2.20pm - Dataran Merdeka: Dianggarkan hampir 1,000 peserta dari Pasar Seni kini semakin hampir dengan sekatan polis yang didirikan berhampiran Dataran Merdeka.

Selain laungan menuntut Anwar berundur dan mengecam kepimpinannya, para peserta perhimpunan turut mendesak tindakan diambil terhadap bekas pembantu perdana menteri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berhubung dakwaan penglibatannya dalam skandal perlombongan di Sabah.

Lautan peserta berbaju hitam itu juga menyanyikan lagu yang melambangkan penolakan mereka terhadap 'penipuan' Anwar, serta lagu terkenal "Hoi hoi ya hoi" yang pernah digunakan oleh Anwar semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15.


Risalah ideologi ‘Khilafah Islamiah’ disebar

2.15 petang: Sogo - Risalah mempromosikan ideologi "Khilafah Islamiah" oleh kumpulan Islam Hizbut Tahrir dikongsikan kepada peserta perhimpunan.

Risalah cetakan Hizbut Tahrir itu, bertajuk 'Anwar Turun, Siapa Naik?' - menyenaraikan lima "dosa" sistem demokrasi, dan lima sebab mengapa "khalifah Islam" adalah cadangan penyelesaian mereka.

Risalah itu meringkaskan kebimbangan kumpulan itu sebagai: “Menukar individu (pemimpin) tidak akan menyelesaikan sebarang masalah jika sistem yang 'tidak sah' dan rosak dikekalkan".

"Penyelesaian adalah dengan menjatuhkan sistem, bukan hanya pemimpin. Pemimpin dalam Islam adalah khalifah dan sistem adalah khalifah".


Tian Chua tolak jemputan hadir demo Turun Anwar

2.10pm - Kuala Lumpur: Bekas pemimpin PKR, Tian Chua - satu nama yang cukup dikenali dalam demontrasi jalanan -menjelaskan dia tidak akan menghadiri perhimpunan Turun Anwar hari ini.

Bekas pemimpin PKR itu mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa dia menolak pelawaan daripada PAS untuk menghadiri perhimpunan itu, walaupun namanya disenaraikan sebagai penceramah untuk mewakili “masyarakat Cina”:

Bagaimanapun Tian Chua berkata dia menghormati hak rakyat untuk berhimpun.

Sementara itu Tian dalam catatan di Facebook berkata perhimpunan hari ini adalah hasil perjuangan reformasi yang dicapai melalui pengorbanan besar oleh pelbagai lapisan masyarakat.

"Ini merupakan kemajuan penting dalam perlaksanaan sistem demokrasi.

"Harap semua pihak politik dapat membela hak bersuara, berhimpun dan beroganisasi. Kita harus bersama-sama mempertahankan segala hak-hak asasi termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, agar kesejahteraan rakyat dijamin. Selamat berhimpun demi meraikan demokrasi," katanya.


Exco Terengganu gesa Anwar bayar royalti minyak

2.00pm - Sogo: Exco Kerajaan Negeri Terengganu Hanafiah Mat menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim membayar royalti minyak kepada negeri itu.

"Saya desak perdana menteri bayar balik royalti minyak Negeri Terengganu.

"Ini hasrat rakyat Terengganu yang datang hari ini supaya Terengganu ditadbir dengan adil dan saksama," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Hanafiah yang juga Adun Cukai berkata rakyat Terengganu menyokong penuh perhimpunan hari ini.

Sementara itu, peserta demonstrasi di hadapan pusat beli belah Sogo terus meningkat kepada lebih 3,000 orang.

Mereka dilihat beransur-ansur berarak ke Dataran Merdeka.

Seorang anggota unit amal memberitahu kumpulan dari Sogo akan bergerak dalam pukul 2.30 petang.


Halimah Ali, Hishammuddin Rais turut hadir

1.50 pm: Pasar Seni - Ahli Parlimen Kapar (PAS) Halimah Ali mengucapkan tahniah kepada pelajar yang meluangkan masa untuk hadir ke perhimpunan itu, dengan menyatakan bahawa ahli politik wajib menyelesaikan rungutan rakyat.

Ucapannya turut disambut dengan laungan "Anwar penipu".

Turut hadir ialah aktivis politik Hishamuddin Rais, yang menyatakan keyakinan bahawa rakyat akan terus turun ke jalan raya selagi Anwar kekal sebagai perdana menteri.

Hishammuddin berkata "jenayah terbesar" Anwar ialah membenarkan Malaysia Airports Holdings Bhd berurusan dengan firma pelaburan AS BlackRock, sebuah syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.

Presiden Perkasa Syed Hasan Syed Ali berkata dia bimbang tentang masa depan golongan muda di tengah-tengah kekurangan pekerjaan dan cukai yang tinggi, dengan mendakwa peletakan jawatan Anwar adalah satu-satunya penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat.


Risalah ideologi ‘Khilafah Islamiah’ disebar

2.15 pm - Sogo: Risalah mempromosikan ideologi "Khilafah Islamiah" oleh kumpulan Islam Hizbut Tahrir disebarkan kepada peserta perhimpunan.

Risalah cetakan Hizbut Tahrir itu, bertajuk 'Anwar Turun, Siapa Naik?' - menyenaraikan lima "dosa" sistem demokrasi, dan lima sebab mengapa "khalifah Islam" adalah cadangan penyelesaian mereka.

Risalah itu meringkaskan kebimbangan kumpulan itu sebagai: “Menukar individu (pemimpin) tidak akan menyelesaikan sebarang masalah jika sistem yang 'tidak sah' dan rosak dikekalkan".

"Penyelesaian adalah dengan menjatuhkan sistem, bukan hanya pemimpin. Pemimpin dalam Islam adalah khalifah dan sistem adalah khalifah".


‘Cukai Man’ muncul di Dataran Merdeka

2 petang: Dataran Merdeka – Di tengah-tengah ketumbukan orang ramai, kelihatan satu patung kadbod adiwira dijulang tinggi.

Namun, patung itu bukanlah Superman - adiwira terkenal sebenar. Sebaliknya, ia digelar “Mr C” – dengan wajah mencebik menyerupai Anwar, tangan mencekak pinggang, dan huruf “C” tertera di dada. Difahamkan, huruf “C” itu merujuk kepada ‘Cukai’.

Turut kelihatan anggota polis menunggang kuda di kawasan berkenaan.


Pemimpin PAS mula berucap

1.45pm - Dataran Merdeka: Pemimpin PAS Sabah, Aliakbar Gulasan memulakan ucapan kepada orang ramai selepas peserta perhimpunan selesai menunaikan solat.

Beberapa pemimpin politik termasuk dari Gerakan dijangka turut menyampaikan ucapan mereka sementara menunggu peserta dari lokasi lain tiba dan menyertai mereka di Dataran merdeka.

Seorang pemimpin Gerakan turut mencuri perhatian apabila berucap dalam bahasa Cina kepada orang ramai yang kebanyakannya Melayu.

Walaupun peserta perhimpunan kelihatan tidak memahami apa yang diucapkan, mereka tetap berteriak sebagai tanda sokongan.

Peserta kemudian bersama ahli politik itu melaungkan slogan "Turun Anwar".


Polis jelaskan sebab pentas diarah dibuka semula

1.40pm - Kuala Lumpur: Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Mohamed Usuf Jan Mohamad menjelaskan pentas sementara yang didirikan penganjur perhimpunan di Dataran Merdeka tidak memenuhi syarat keselamatan dan oleh itu perlu dibuka semula.

“Pentas itu didirikan tanpa kebenaran atau sebarang permohonan daripada pihak penganjur kepada DBKL.

"Struktur pentas tidak memenuhi syarat keselamatan, dan polis tidak dimaklumkan tentang bilangan orang yang akan berada di atas pentas," katanya kepada pemberita.

Usuf berkata persetujuan awal antara polis dan penganjur adalah dua kenderaan Hilux akan dijadikan sebagai pentas.


Tunaikan solat

1.20 pm: Pasar Seni - Azan dilaungkan oleh seorang peserta perhimpunan dan penganjur meminta para peserta menunaikan solat sebelum mereka berarak pada jam 2 petang.


2,000 perserta demo kini berada di Dataran Merdeka

1.20 tengah hari – Dataran Merdeka: Kira-kira 2,000 peserta perhimpunan kini berada Dataran Merdeka.

Mereka ini termasuk kumpulan yang berarak dari Masjid Jamek.

Seorang petugas memaklumkan kepada orang ramai bahawa mereka akan menunaikan solat Zohor di lokasi utama perhimpunan sementara menunggu peserta dari lokasi lain tiba.

Beberapa peserta dilihat saling membantu mengambil wuduk menggunakan air dari botol mineral.


Laungan tolak DAP

1.10 pm: Pasar Seni – Seorang petugas meminta peserta mengedarkan bahan-bahan protes, dengan menyatakan bahawa adalah wajib bagi setiap pelajar memegang satu daripadanya sebagai tanda sokongan terhadap perhimpunan tersebut. Beberapa anak muda kemudian mengedarkan plakad kadbod yang tertera pelbagai slogan kepada orang ramai.

Laungan “Tolak DAP” turut kedengaran di kawasan berkenaan, yang kini semakin dipenuhi orang ramai dengan anggaran sekitar 200 peserta, yang kebanyakannya golongan muda.


Perniagaan berjalan seperti biasa

1.10 petang - Pusat beli belah Sogo - Lebih 2,000 peserta berkumpul di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, dengan perniagaan di kawasan itu beroperasi seperti biasa.

Hampir semua premis perniagaan termasuk pusat beli belah Sogo, Kompleks Pertama, Kompleks Campbell dibuka untuk orang ramai.

Walaupun pintu utama Sogo ditutup, orang ramai dilihat masuk melalui pintu tepi.

Beberapa peniaga kecil di sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman menjual minuman, baju tertera tulisan Turun Anwar dan vuvuzela.

Para peserta melaung 'Turun Anwar', ‘ABA’ (Asalkan Bukan Anwar), dan ‘Anwar penipu’.

Unit Amal bersiap sedia untuk berarak ke Dataran Merdeka.

Lebih 100 anggota polis yang bertugas menjaga kawasan sekitar dan membantu melancarkan lalu lintas.


12.55 tengah hari - Jalan Raja - Laungan 'bangkit rakyat', 'tolak kezaliman' dan 'turun Anwar' kedengaran di Jalan Tun Perak ketika 500 peserta berarak ke Dataran Merdeka.

Perarakan itu diketuai oleh sekumpulan sukarelawan Unit Amal manakala beberapa pemimpin himpunan yang berdiri di belakang pacuan empat roda menggunakan pembesar suara untuk memimpin laungan slogan.


Pemimpin PAS sindir Anwar soal isu ‘5R’

12.50 tengah hari - Pusat beli belah Sogo - Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh menyindir Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan menyatakan negara kini menghadapi isu ‘5R’.

Selain isu 3R (raja, agama dan kaum) pemimpin PAS itu merujuk kes saman Yusoff Rawther dan isu dalaman PKR antara Anwar dan bekas timbalan presiden Rafizi Ramli.

"Dulu kita ada isu 3R. Lepas itu 4R, Rawther, sekarang nak jadi 5R, Rafizi.

"Perdana menteri kata nak selesaikan isu negara. Tapi, kita lihat semakin tambah," katanya di hadapan lebih 2000 peserta di hadapan pusat beli belah Sogo.

Katanya, satu-satunya penyelesaian untuk menyelamatkan negara adalah turunkan Anwar.


Unit Amal pimpin kumpulan di Masjid Jamek

12.50 tengah hari - Masjid Jamek - Sukarelawan Unit Amal membentuk rantaian manusia untuk mengetuai kira-kira 200 penunjuk perasaan berarak menuju ke Dataran Merdeka.

Di bahagian belakang kerumunan orang ramai yang memenuhi jalan, kelihatan bendera yang tertera slogan 'Turun Anwar'.

Penunjuk perasaan mula melaungkan "Turun Turun, Turun Anwar" dan "Bangkit Bangkit, Bangkit Rakyat" ketika mereka bersedia untuk berarak ke Dataran Merdeka.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Sabah Hendri Hamsah dan kira-kira 200 ahli parti dari negeri itu menyertai kerumunan peserta perhimpunan.

“Kita harap perdana menteri tunaikan janji dalam manifesto pilihan raya. Dan kita harap kerajaan khususnya Anwar Ibrahim menyesali apa yang telah dilakukan kepada rakyat.

“Beliau mesti meletak jawatan kerana gagal menangani semua masalah yang dihadapi oleh negara, dan bukan itu sahaja, beliau menambah lebih banyak isu yang meletakkan rakyat dalam kesusahan,” kata Hendri kepada Malaysiakini.


12.31 tengah hari - Pasar Seni - Kehadiran di Pasar Seni bertambah sedikit kepada kira-kira 50 penunjuk perasaan, dengan Naim berucap pada perhimpunan di tengah-tengah laungan 'turun Anwar'.

Para hadirin juga dimaklumkan bahawa bekas ahli PKR Tian Chua juga akan hadir dan berarak ke Dataran Merdeka pada pukul 2 petang.


Bekas pemimpin Bersih ucap selamat berhimpun

12.30 tengah hari: Kuala Lumpur - Bekas pemimpin Bersih Mandeep Singh mengucapkan selamat berhimpun kepada peserta perhimpunan hari ini.

Buat para peserta Himpunan, saya ucapkan selamat berhimpun. Raikan demokrasi. Jadikan ini sebagai satu pesta demokrasi. Berhujahlah dengan fakta, dan bukannya emosi. Nyatakan lah tuntutan kalian dengan jelas dan bentangkan alternatif.

Jangan lupa untuk jaga kebersihan dan berbelanjalah di warung-warung sekitar Dataran Merdeka untuk membantu para peniaga. Minumlah air yang secukupnya dan jaga keselamatan.

“Selamat berhimpun — raikan demokrasi.

“Hak untuk berhimpun adalah hak setiap warganegara!” kata Mandeep yang turut menawarkan senarai petua untuk peserta perhimpunan, berdasarkan perhimpunan besar Bersih sebelum ini.


Lebih seratus peserta di Masjid Jamek

12.25 tengah hari - Masjid Jamek - Kira-kira 150 peserta perhimpunan berkumpul di tempat pertemuan yang ditetapkan untuk penunjuk perasaan dari bahagian selatan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Beberapa pemimpin himpunan sedang memberi ucapan dan memimpin laungan ketika orang ramai menunggu isyarat untuk berarak menuju ke Dataran Merdeka.

Ada yang dilihat membeli makanan dan minuman dari gerai-gerai di kawasan itu, manakala yang lain mengunyah makanan sambil menyertai laungan slogan.


Sepanduk ‘PMX pengkhianat’

12.20 tengah hari: Pasar Seni - Exco Pemuda Bersatu Naim Brundage tiba kira-kira jam 11.45 malam dengan sekumpulan penunjuk perasaan, salah seorang daripada mereka mendesak media dan pempengaruh yang hadir untuk bertanya kepada Naim "soalan panas" mengenai perhimpunan dan isu semasa yang melanda negara.

Walaupun seorang peserta kelihatan membawa bersama pembesar suara mudah alih, Naim memilih untuk duduk di kerusi dan bercakap dengan media selama kira-kira 10 minit.

Sementara itu, sekumpulan wanita dari NGO Negarawati Tanahair mengangkat sepanduk mendakwa Anwar sebagai pengkhianat negara dan menggesa perdana menteri itu meletak jawatan.


Lebih 1,000 berkumpul di Sogo

12.00 tengah hari - Pusat beli-belah Sogo - Lebih seribu peserta berkumpul di hadapan pusat beli belah Sogo.

Pemimpin kanan PAS Takiyuddin Hassan turut kelihatan memberi taklimat kepada unit amal PAS.

Para peserta melambai ke arah kenderaan polis yang berlalu sambil melaung “pudin”, dipercayai merujuk Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Bercakap kepada Malaysiakini, Takiyuddin menyatakan rasa kecewa dengan tindakan pihak penguat kuasa minta penganjur perhimpunan untuk mengalihkan pentas di Dataran Merdeka.

"Polis sepatutnya menyediakan kemudahan kepada penganjur.

"Bukan menyukarkan keadaan. Saya kecewa dengan tindakan polis," katanya.


Pemimpin himpunan mula berucap

11.55 pagi - Dataran Merdeka - Beberapa pemimpin himpunan menyampaikan ucapan dari pentas sementara.

Laungan 'Turun Turun, Turun Anwar" berkumandang ketika orang ramai terus berkumpul di bawah cuaca terik.

Malaysiakini menganggarkan antara 200 dan 300 penunjuk perasaan berada di tempat perhimpunan utama pada ketika ini.


Sepanduk ‘mahasiswa tertekan’

11.51 pagi: Pasar Seni - Dua pemuda, berpakaian hitam dan berbaju-t bertemakan 'Turun Anwar' memegang sepanduk besar.

Sepanduk daripada kain putih itu memaparkan perkataan 'mahasiswa tertekan' bersama karikatur Anwar.

Kedua-dua individu mereka meninggalkan lokasi selepas kira-kira 5 minit memegang sepanduk berkenaan.


FRU dan unit berkuda polis bersiap sedia

11.50 pagi - Jalan Tugu - Pasukan Simpanan Persekutuan Polis (FRU) dan unit berkuda dilihat bersiap sedia di dalam dua treler yang diletakkan di hadapan Muzium Tekstil Negara berhampiran Dataran Merdeka.

Kira-kira 10 ekor kuda, dengan pelana tertera logo polis, dilihat di dalam treler, sementara jurulatih mereka berdiri di tepi treler.


Makan dulu…

11.35 pagi – Jalan Cenderasari (belakang Masjid Negara) – Lebih 50 peserta himpunan dilihat sedang menjamu selera di gerai-gerai berhampiran Masjid Negara sebelum perhimpunan bermula.

Pihak polis mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Tugu yang menghala ke Dataran Merdeka.

Seorang penunjuk perasaan berpakaian t-shirt hitam 'Turun Anwar' dilihat membawa mi sup dari salah sebuah gerai sambil tersenyum, berjalan ke arah meja peserta lain yang sedang menikmati hidangan mereka.

Sementara itu, kelihatan sekumpulan penunjuk perasaan sedang mempromosikan kemeja-t perhimpunan dan barangan cenderahati.


Anggota polis berkawal di beberapa lokasi

11.15am: Kuala Lumpur – Pasukan polis dan anggota keselamatan dilihat bersiap sedia di beberapa lokasi perhimpunan termasuk di Sogo dan Pasar Seni.

Menurut laporan Berita Harian, trak-trak polis turut dilihat diparkir di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sebagai persediaan menghadapi perarakan dan himpunan yang dijadualkan petang ini.

Dalam perkembangan lain, PAS menghimpunkan sukarelawan Unit Amal berhampiran Masjid Jamek.

Turut kelihatan berhampiran stesen LRT Masjid Jamek ialah pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang menyediakan ambulans sekiranya berlaku sebarang insiden.


Penganjur dakwa pihak berkuasa halang dirikan pentas

11am - Dataran Merdeka: Penganjur perhimpunan mendakwa mereka dihalang pihak berkuasa apabila diarahkan untuk membuka semula pentas yang telah didirikan di Dataran Merdeka.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lanjnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff, dalam satu hantaran di Facebook berkata arahan tersebut dikeluarkan walaupun polis sebelum itu memberikan kebenaran untuk mereka mendirikan pentas berkenaan.

"Petugas kita dari pukul 3 pagi hingga subuh bersusah payah setup pentas.

"Pagi ni tiba-tiba orang yang sama datang suruh buka pentas dan ugut nak sita pula,” katanya.

Nurul Islam turut berkongsi video yang menunjukkan anggota Unit Amal PAS sedang menanggalkan struktur pentas sekitar jam 10 pagi.

"Jadi usaha Madanon untuk menggagalkan perhimpunan ini, Mungkin takutlah kot. Tapi tak apa kita patuh,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS