Bekas Setiausaha Politik kepada Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak semalam menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Penganugerahan tersebut berlangsung sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-84 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Ramli Ngah Talib dalam satu istiadat rasmi di Dewan Sri Pinang.
Menurut laporan Sinar Harian, bekas setiausaha politik kepada Anwar itu kelihatan ceria namun mengelak daripada berjumpa pihak media.
Bekas pengerusi PKR Perak itu kini mencuri perhatian berhubung kekayaan dan perniagaan yang dimilikinya, termasuk terpalit dengan skandal perlombongan di Sabah.
"Farhash Wafa Salvador kelihatan ceria apabila diraikan oleh rakan-rakan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) di luar dewan selepas disarungkan kain sebagai ucapan tahniah atas penganugerahan yang diterimanya.
"Namun begitu, beliau terus bergegas masuk semula ke dalam dewan selepas menyedari kehadiran petugas media,” menurut laporan tersebut.
Jumaat lalu, bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai maklumat yang cukup untuk menyiasat bekas pengerusi PKR Perak itu.
"Kontroversi demi kontroversi yang ditimbulkan dan dikaitkan dengan Farhash perlu ditangani segera dan penafian mentah tidak lagi akan diterima oleh rakyat.
"Maklumat-maklumat yang didedahkan setakat ini sudah cukup untuk membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap Farhash, seperti mana kertas siasatan dibuka terhadap tokoh-tokoh lain yang dituduh menjadi kaya secara tiba-tiba.
"Bila ada konsistensi sebegini, barulah lebih ramai rakyat yang lebih yakin dengan usaha kerajaan membanteras rasuah,” katanya.
Rafizi berkata, ini bukan kali pertama Farhash dikaitkan dengan pelbagai urusniaga yang mengundang kontroversi.
"Sejak Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, Farhash tiba-tiba melonjak menjadi seorang niagawan yang ligat dan mula mempunyai kepentingan dari satu syarikat ke satu syarikat.
"Ada syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan beliau, kemudiannya mendapat kontrak perolehan yang besar dari kerajaan.
"Jumlah sebenar kontrak-kontrak perolehan kerajaan yang dianugerahkan kepada syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Farhash tidak diketahui umum,” katanya.
