Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apandi persoal 'percanggahan' dakwaan campur tangan oleh bekas ketua hakim
Diterbitkan:  Jul 27, 2025 11:45 AM
Dikemaskini: 3:45 AM

Bekas peguam negara Apandi Ali membidas seorang bekas Ketua Hakim Negara dengan mempersoalkan sama ada wujud “percanggahan yang membimbangkan” dalam dakwaannya mengenai campur tangan dalam kehakiman.

Walaupun tidak menyebut nama secara langsung, kenyataannya jelas ditujukan kepada Tengku Maimun Tuan Mat, yang bersara pada 2 Julai lalu di tengah-tengah kritikan terhadap keputusan kerajaan yang tidak melanjutkan tempoh perkhidmatannya.

Apandi mengulas dakwaan bekas Ketua Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli, yang mendakwa dia pernah ditekan oleh seorang “anggota kanan badan kehakiman” untuk mengubah pendapat kehakimannya dalam kes cabaran larangan perjalanan oleh bekas Ahli Parlimen, Maria Chin Abdullah.

“Walaupun mendapat tekanan, beliau tetap berdiri teguh, dan Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk memihak kepada kerajaan.

"Bagaimanapun, keputusan itu kemudiannya dibatalkan oleh panel tiga hakim - satu tindakan yang jarang berlaku dan mencetuskan kontroversi.

“Pemerhati mempersoalkan sama ada pihak minoriti yang tidak bersetuju telah merancang semakan semula untuk mengenakan keputusan yang dikehendaki. Ironinya? Individu yang mengkritik campur tangan kehakiman mungkin turut terlibat dalam cari tampur tangan dari dalam,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Apandi menegaskan bahawa keadilan tidak boleh diamalkan secara terpilih, dan menggesa siasatan dijalankan terhadap dakwaan tersebut.

Dia turut menegaskan bahawa semua hakim perlu dipertanggungjawabkan mengikut standard yang sama, tanpa mengira jawatan atau reputasi masa lalu.

“Dakwaan yang dibuat oleh Rahman bukan sekadar khabar angin semata-mata ia memerlukan siasatan segera dan tidak berat sebelah. Pihak berkuasa mesti mengesahkan kesahihan komunikasi yang diterima oleh Rahman dan menentukan sama ada sempadan etika telah dilanggar dan pengaruh digunakan secara tidak wajar.

“Walaupun telah bersara, bekas tokoh hakim masih perlu dipertanggungjawabkan. Jika berlaku salah laku, tindakan pembetulan, termasuk tindakan tatatertib atau jenayah mesti diambil untuk mengekalkan keyakinan awam dan kesahan keputusan kehakiman sebelum ini. Jika perlu, kes-kes yang diputuskan dalam keadaan mencurigakan harus dikaji semula,” tambahnya.

Apandi turut merujuk kepada minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang bocor, yang didakwa menunjukkan campur tangan luar dalam urusan kehakiman.

Jika benar, katanya, pendedahan itu akan menunjukkan “hipokrasi yang ketara”.

Apandi turut membangkitkan kenyataan kontroversi Tengku Maimun sebelum ini yang menyeru agar peranan perdana menteri dalam pelantikan kehakiman dihapuskan, dengan menyifatkannya sebagai tidak selari dengan dakwaan yang dibuat kini.

“Kemerdekaan kehakiman bukan hanya tentang menolak tekanan politik, ia juga mengenai memastikan integriti dari dalam.

“Kebebasan kehakiman bukan sekadar soal menolak tekanan politik – ia juga berkaitan dengan memastikan integriti dari dalam. Pendedahan Rahman mengenai tekanan dalaman rakan sejawatan memberi gambaran yang membimbangkan: bahkan hakim kanan pun berasa terpaksa akur kepada kehendak pihak atasan.

“Jika dakwaan ini dibuktikan, ia merupakan satu pengkhianatan terhadap kepercayaan awam dan keruntuhan prinsip tidak berat sebelah yang sepatutnya dijunjung oleh pejabat kehakiman tertinggi.

“Lebih membimbangkan lagi ialah desakan bekas ketua hakim negara untuk menghapuskan penglibatan eksekutif dalam pelantikan kehakiman – ini menimbulkan kebimbangan tentang kuasa dalaman yang tidak dikawal dan boleh berubah menjadi bentuk autokrasi kehakiman,” katanya.

Apandi turut menggesa reformasi segera bagi mengelak tekanan dalaman dalam badan kehakiman, termasuk prosedur perlantikan panel hakim yang telus, pemantauan komunikasi antara hakim semasa perbincangan kes, perlindungan yang kukuh kepada pemberi maklumat, serta hukuman statutori terhadap sebarang pengaruh tidak wajar dalam sistem kehakiman.

“Legasi yang dibina atas pidato indah dan pencapaian simbolik tidak bermakna jika dibayangi ketidakkonsistenan. Jika kehakiman mahu kekal sebagai benteng keadilan, pemimpinnya, dahulu dan kini mesti dipertanggungjawabkan mengikut piawaian etika tertinggi. Tiada individu yang kebal, hanya prinsip yang mesti dimuliakan.

“Keadilan tidak boleh wujud jika akauntabiliti dianggap pilihan. Dan kebebasan tiada maknanya jika ia diamalkan secara terpilih,” katanya lagi.

Dakwaan Rahman

Semalam, FMT melaporkan seorang bekas ketua hakim yang baru bersara mendedahkan bahawa dia pernah menerima tekanan daripada ‘seorang anggota kanan badan kehakiman’ supaya membuat keputusan memihak kepada seorang plaintif yang menyaman kerajaan persekutuan dalam satu kes perlembagaan yang kontroversi.

Abdul Rahman Sebli, yang bersara sebagai ketua hakim Sabah dan Sarawak pada Khamis, mendedahkan perkara itu dalam ucapan perpisahan kepada peguam, pegawai kehakiman dan pegawai undang-undang di Kuching pada Rabu.

Abdul Rahman berkata ketika kes itu berlangsung, dia merupakan hakim Mahkamah Persekutuan dan menyediakan draf penghakiman yang diedarkan kepada enam lagi ahli panel untuk disemak.

“Tidak lama selepas itu, saya menerima satu emel daripada seorang anggota kanan badan kehakiman yang beritahu betapa salahnya pandangan saya mengenai isu perlembagaan,” katanya.

Rahman berkata dia pada ketika itu merupakan hakim yang agak junior berbanding mereka yang memberi tekanan kepadanya dan menyifatkan bahawa dirinya pada asasnya diminta untuk mengikut kehendak mereka.

Rahman turut mencadangkan bahawa mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kes tersebut boleh merujuk kepada penghakiman yang dimuatkan dalam sebuah buku yang dilancarkan pada malam itu.

Rahman berkata kebebasan badan kehakiman bukan sekadar mengenai campur tangan eksekutif, tetapi juga membabitkan rakan-rakan sejawatan dalam menjalankan tugas kehakiman.

“Tekanan rakan sekerja boleh menjadi satu kuasa besar dalam badan kehakiman dan berpotensi mempengaruhi keputusan kehakiman serta keseluruhan pentadbiran keadilan,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Tengku Maimun untuk mendapatkan ulasan.

[Baca berita asal]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS