Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi menyifatkan pendedahan seorang bekas ketua hakim Sabah dan Sarawak mengenai dakwaan “campur tangan rakan-rakan sejawatan” dalam menjalankan tugas kehakiman sebagai mengejutkan.
Puad mempersoalkan siapakah “rakan sekerja” yang dimaksudkan oleh Abdul Rahman Sebli, sambil menyoal secara sinis apakah mereka termasuk Ketua Hakim Negara yang baru bersara, Tengku Maimun Tuan Mat.
“Selama ini berbagai pihak hanya menuding jari kepada pihak “eksekutif” khususnya perdana menteri.
“Kenapa perhimpunan semalam, baik Tun M (Mahathir Mohamad), Muhyiddin (Yassin) dan Hamzah Zainuddin tidak sentuh perkara ini? Mana Majlis Peguam?
“Ini pendedahan mengejutkan. Rakyat tidak tahu campur tangan kehakiman boleh berlaku dari dalam.
“Kita harap “geng 9” Rafizi yang berani itu buat tuntutan RCI terhadap isu terbaru ini. Jangan setakat isu JAC (Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman) sahaja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Puad berkata demikian merujuk kenyataan yang dibuat Rahman dalam ucapan perpisahan kepada peguam, pegawai kehakiman dan pegawai undang-undang di Kuching pada Rabu.
Rahman yang baru bersara sebagai ketua hakim Sabah dan Sarawak mendedahkan bahawa dia pernah menerima tekanan daripada ‘seorang anggota kanan badan kehakiman’ supaya membuat keputusan memihak kepada seorang plaintif yang menyaman kerajaan persekutuan dalam satu kes perlembagaan yang kontroversi.

Abdul Rahman berkata ketika kes itu berlangsung, dia merupakan hakim Mahkamah Persekutuan dan menyediakan draf penghakiman yang diedarkan kepada enam lagi ahli panel untuk disemak.
“Tidak lama selepas itu, saya menerima satu emel daripada seorang anggota kanan badan kehakiman yang beritahu betapa salahnya pandangan saya mengenai isu perlembagaan,” katanya.
Rahman berkata dia pada ketika itu merupakan hakim yang agak junior berbanding mereka yang memberi tekanan kepadanya dan menyifatkan bahawa dirinya pada asasnya diminta untuk mengikut kehendak mereka.
Rahman turut mencadangkan bahawa mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kes tersebut boleh merujuk kepada penghakiman yang dimuatkan dalam sebuah buku yang dilancarkan pada malam itu.
Rahman berkata kebebasan badan kehakiman bukan sekadar mengenai campur tangan eksekutif, tetapi juga membabitkan rakan-rakan sejawatan dalam menjalankan tugas kehakiman.
“Tekanan rakan sekerja boleh menjadi satu kuasa besar dalam badan kehakiman dan berpotensi mempengaruhi keputusan kehakiman serta keseluruhan pentadbiran keadilan,” katanya.

Pada Julai lalu, Rafizi dan lapan ahli parlimen PKR lain menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) berkenaan badan kehakiman.
Mereka menyatakan kebimbangan mengenai isu pelantikan hakim yang didakwa mirip kepada episod VK Lingam pada pertengahan 2000-an yang akhirnya membawa kepada penubuhan JAC pada tahun 2009.
Selain penubuhan RCI, Rafizi dan rakan-rakannya turut menggesa penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) berkenaan badan kehakiman, dengan menegaskan bahawa kontroversi terkini menunjukkan keperluan mendesak untuk reformasi.
Terdahulu, bekas Peguam Negara, Apandi Ali, turut menggesa siasatan dijalankan terhadap dakwaan tersebut.
