Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terpalit dengan skandal perlombongan membabitkan beberapa Adun dan pemimpin negeri mengesahkan akan membentuk kerjasama pilihan raya dengan PH.
Pengerusi GRS, Hajiji Noor, hari ini mengumumkan bahawa gabungan lapan parti yang dipimpinnya akan mengekalkan kerjasama itu menjelang pilihan raya negeri Sabah yang akan datang.
“Setuju (semua lapan komponen GRS). Kita akan teruskan kerjasama antara GRS dan PH seperti yang sedia ada hari ini,” katanya kepada pemberita apabila ditanya apakah kerjasama itu masih utuh dan disokong oleh parti-parti komponen GRS.
Ditanya sama ada kerjasama itu akan diteruskan dalam pilihan raya negeri, Hajiji hanya mengangguk tanda setuju. Menurutnya, perbincangan mengenai agihan kerusi masih berjalan.
“Kita sudah bincang dalam kalangan komponen. Formulanya telah dirangka — cuma tinggal beberapa perkara kecil untuk diselesaikan,” katanya selepas menyampaikan ucapan dasar di Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat di Kota Kinabalu.
Ini merupakan kali pertama Haiji mengesahkan secara terbuka kerjasama GRS-PH, sekali gus menjawab teka-teki dan rundingan belakang tabir yang berlarutan selama beberapa bulan, termasuk desakan daripada sesetengah parti komponen GRS agar bertanding secara bersendirian.
Antara yang hadir di mesyuarat agung Gagasan Rakyat ialah beberapa pemimpin GRS, termasuk Presiden LDP Chin Su Phin; Penasihat Utama PBS, Joseph Pairin Kitingan, Presiden SAPP, Yong Teck Lee dan Presiden Parti Cinta Sabah, Anifah Aman.
Namun, Presiden Pemangku PBS, Dr Joachim Gunsalam dan Presiden STAR Sabah Jeffrey Kitingan tidak kelihatan.
Turut hadir ialah pemimpin-pemimpin PH Sabah — Penasihat PKR Christina Liew, Timbalan Presiden UPKO, Donald Mojuntin; Pengerusi PKR Sabah, Mustapha Sakmud; Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe dan Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu.
Kerjasama GRS dan PH mencerminkan perkongsian kuasa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan, namun di peringkat pusat ia turut melibatkan BN.
Namun begitu, kerjasama tiga penjuru antara GRS, PH dan BN masih belum menjadi kenyataan.
Hubungan GRS dan BN masih tegang susulan perbalahan antara pemimpin kedua-dua parti iaitu Hajiji dan Bung Moktar Radin sejak awal tahun 2023.
Sementara itu, Pengerusi PKR Sabah Mustapha menyambut baik pengumuman Hajiji.
“Ya, kita akan terus bekerjasama dengan GRS mulai hari ini. Kita telah berbincang dengan parti-parti komponen. Formulanya sudah ada — hanya tinggal beberapa perkara kecil untuk diselesaikan,” katanya.
Walaupun perincian pembahagian kerusi masih dalam rundingan, Mustapha berkata pakatan itu berada di landasan kukuh dengan persefahaman umum dalam kalangan parti-parti terlibat.
Apabila ditanya sama ada kerjasama ini mencerminkan kehendak rakyat, beliau menjawab: “Ya, saya bersetuju dengan semangat kerjasama rakyat Sabah.”
