Bekas timbalan menteri, Hanipa Maidin, menasihatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak tergesa-gesa mengeluarkan kenyataan berkaitan isu perundangan membabitkan Pulau Batu Puteh.
Hanipa merujuk kenyataan terbaru Anwar bahawa keputusan untuk tidak meneruskan tindakan terhadap Dr Mahathir Mohamad tidak melangkaui keputusan Peguam Negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata keputusan itu dibuat Kabinet meskipun Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mencadangkan sebaliknya.
Dia juga menyatakan bahawa isu pendakwaan terhadap Mahathir tidak timbul kerana siasatan polis belum dijalankan.
"Jika keputusan untuk mendakwa belum timbul lagi atau tidak pernah timbul kerana siasatan polis belum dijalankan, mengapa YAB PMX nyatakan di dalam parlimen yang Tun M sudah bersalah? Tidakkah itu menampakkan kejanggalan?" soal Hanipa dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Selasa lalu, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa kabinet membuat keputusan untuk tidak meneruskan tindakan undang-undang terhadap Mahathir berhubung isu Pulau Batu Puteh atas faktor usia.
Menurut Anwar, keputusan itu diambil meskipun Mahathir bersalah dalam isu itu

Susulan kenyataan itu, Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, berkata perdana menteri telah mengelirukan Dewan dan menegaskan bahawa hanya Peguam Negara berhak memulakan atau menghentikan pendakwaan — bukan perdana menteri.
Takiyuddin turut menyatakan hasrat untuk mencadangkan agar Anwar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung perkara itu.
Mengulas lanjut, Hanipa berkata kenyataan terdahulu Anwar dan jawapan yang diberikan kepada Takiyuddin kemudiannya hanya memburukkan lagi keadaan.
"Jika komen YAB sebelum ini , bagi saya, terang- terang salah, komen YAB kedua ini makin mengeruhkan keadaan," katanya.
Mahathir sebelum ini mencabar Anwar supaya mengheretnya ke mahkamah, dan menegaskan dia tidak memerlukan “imuniti” hanya kerana faktor usia serta sedia mempertahankan dirinya.
Dalam nada menyindir, bekas perdana menteri yang kini berusia 100 tahun itu berkata, imuniti hanya untuk orang yang takut ke mahkamah disebabkan bersalah.
Mahathir turut mengulangi pendiriannya itu dalam perhimpunan “Turun Anwar” di Kuala Lumpur semalam.

Pada Disember tahun lalu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mencadangkan Mahathir disiasat kerana didakwa mengelirukan kabinet sehingga menyebabkan Malaysia menarik balik permohonan semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 yang menganugerahkan Batu Puteh kepada Singapura.
Laporan RCI itu, yang telah dinyahklasifikasi di Parlimen pada 5 Disember, mendakwa Malaysia mempunyai peluang untuk membatalkan keputusan ICJ, tetapi peluang itu terlepas apabila permohonan semakan ditarik balik.
