Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penswastaan parkir: ‘Tangguh dulu, banyak persoalan belum terjawab’

Cadangan penswastaan sistem parkir di empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor terus mengundang kritikan, termasuk daripada ahli politik kerajaan dan pembangkang, yang menyifatkannya sebagai langkah tergesa-gesa dan tidak telus.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung membangkitkan kebimbangan berkenaan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pelaksanaan sistem yang dijangka akan bermula 1 Ogos ini.

“Semua yang berlaku ketika ini sangat mencurigakan. Banyak persoalan belum dijawab, dari jumlah nilai konsesi, ketepatan penswastaan, hinggalah proses pelaksanaannya. 

“Jangan sampai kita jadi seperti dulu macam Umno 2.0,” kata ahli Parlimen PKR itu dalam satu forum awam di Petaling Jaya, hari ini.

Lee Chean Chung

Lee turut menyeru agar pelaksanaan sistem itu ditangguhkan serta disemak semula, menerusi satu jawatankuasa khas yang melibatkan ahli Parlimen, Adun dan Ahli Majlis PBT.

“Kenapa nak laksana serentak di empat PBT? Kenapa tidak buat projek perintis dahulu? Rakyat belum bersedia dan kita perlukan lebih banyak dialog,” katanya lagi.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah mempersoalkan keperluan satu sistem parkir yang baru, dinamakan seabgai Selangor Intelligent Parking (SIP), memandangkan sistem sedia ada, iaitu Smart Selangor masih berfungsi.

“Apa masalah dengan sistem yang lama? Beritahu kita apa masalahnya. Kalau tak ada jawapan yang jelas, bagaimana kita nak tahu sistem baru ini lebih baik?” soalnya.

Maria juga menekankan bahawa pengurusan parkir adalah di bawah bidang kuasa PBT, bukannya kerajaan negeri, justeru kerajaan negeri melangkaui peranannya apabila terlibat dalam urusan penswastaan parkir tersebut. 

“Ia isu mikro, bukan tempat untuk kerajaan negeri masuk dan mengambil untung. Kita bukan tolak pembangunan, tapi rakyat berhak tahu. Kalau sistem lama ada kelemahan, betulkan dan bukan ganti dengan sesuatu yang tidak telus,” katanya.

Maria Chin Abdullah

Selain Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), tiga lagi PBT terlibat adalah Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Pada Selasa lalu, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Ng Suee Lim menjelaskan perbincangan masih diteruskan mengenai penswastaan itu.

Mengambil maklum bahawa perjanjian muktamad dijangka ditandatangani pada 1 Ogos, Ng berkata MBI Selangor sedang dalam peringkat akhir rundingan dengan anak syarikatnya, Rantaian Mesra Sdn Bhd, bagi pelaksanaan SIP.

Menerusi SIP, Rantaian Mesra selaku pemegang konsesi akan mengendalikan kutipan yuran dan penguatkuasaan, dengan hasil akan dibahagikan sama rata.

Pemegang konsesi akan menerima 50 peratus, manakala separuh lagi akan diberi kepada negeri - 40 peratus kepada PBT dan 10 peratus kepada MBI Selangor.

‘Banyakkan libat urus’

Turut bersuara dalam forum awam hari ini adalah Setiausaha PN Selangor Afif Bahardin, yang menggesa kerajaan negeri mendedahkan sepenuhnya maklumat berkenaan konsesi dan pulangan kepada rakyat.

Afif Bahardin

“Kita tidak nampak keperluan untuk beri konsesi kepada pihak luar sedangkan PBT seharusnya boleh urus dan tingkatkan pendapatan mereka sendiri. 

“Kalau nak buat atas nama efisiensi, adakah ada unsur komersial yang lebih penting daripada kebajikan rakyat?” soalnya yang juga Adun Taman Medan.

Afif juga menegaskan bpelaksanaan SIP perlu ditangguhkan bagi membolehkan lebih banyak libat urus awam dibuat.

Sementara itu, MBPJ dilaporkan setuju secara prinsip dengan penswastaan sistem parkir namun beberapa syarat perlu dipenuhi sebelum ia dilaksanakan.

Menurut laporan Free Malaysia Today, Datuk Bandar Petaling Jaya Zahri Samingo berkata antara syarat itu adalah hasil yang diperoleh MBPJ daripada bayaran letak kereta perlu lebih tinggi atau sama seperti sebelum ini.

Proses penswastaan juga tidak boleh mengganggu keadaan parkir semasa di bandar raya itu, katanya lagi.

“Ada banyak terma yang masih perlu kami perincikan, seperti asas bagi pelaksanaan penyerahan kuasa, tempoh penyerahan kuasa, dan sebagainya.

“Jadi, ada tiga hingga empat terma lagi yang perlu kami dapatkan maklumat lebih lanjut,” katanya seperti dipetik.

Zahri berkata dia telah mengadakan pertemuan dengan MBI Selangor berhubung perkara itu dan akan terus mengadakan perbincangan lanjut dengan syarikat kerajaan negeri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS