Ahli Parlimen PKR, Hassan Karim dari PKR bermadah mengingatkan kerajaan Madani supaya muhasabah selepas ribuan rakyat menyertai Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Hassan dalam satu sajak yang dihasilkannya turut memohon maaf kepada rakyat kerana mungkin ada janji yang dimungkiri selama mentadbir.
Dia juga turut mengingatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa masih ada ruang untuk memperbaiki apa yang "bengkok".
"Tetapi semalam, dua puluh lima ribu massa berhimpun, kita (kerajaan) menjadi sasaran kemarahan rakyat jelata.
"Perdana Menteri kita disuruh turun, ada hikmah di sebalik ini semua, kita tidak selalunya betul, janji kita ditagih, mungkin ada yang kita mungkiri selama ini.

"Jika tidak takkan rakyat menjerit berulang kali, mereka telah dikhianati, jadi eloklah kita merendah hati mariah kita bermuhasabah diri.
"Kita tidakkah terlalu buruk, tetapi kita juga tidaklah baik sangat. Masih ada masa untuk meluruskan yang bengkang bengkok, kembalilah kita ke jalan yang benar, jika kita masih mencari kemenangan," kata Hassan.
Sabtu lalu, puluhan ribu rakyat berhimpun di Dataran Merdeka bagi mendesak Anwar melepaskan jawatan daripada terus memimpin negara.
Himpunan yang bermula sekitar jam 12 tengah hari itu berlangsung secara aman dengan pemimpin utama menyampaikan pidato termasuk dua bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin.
Sementara itu Hassan berkata, rakyat tidak pernah silap, tetapi pemimpin yang menguasai kerajaan sering lupa diri.
"Jujur dan ikhlas kita seperti mula-mula dulu, waktu kita yang tiada kuasa membina ikrar-ikrar murni.
"Rakyat tidak pernah silap.
“Yang mudah lupa kita yang elit dan sekarang jadi sang penguasa," katanya lagi.

