PARLIMEN | Letupan saluran paip gas di Putra Heights, Selangor pada April tidak mungkin berpunca daripada aktiviti penggalian berhampiran, menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia Abdul Rahman Mohamad.
Menjawab soalan di Dewan Rakyat pagi ini, dia menolak teori yang dispekulasikan secara meluas, mengatakan paip itu tertimbus pada kedalaman yang tidak boleh dicapai oleh jengkaut.
“(Letupan) ini berlaku adalah disebabkan oleh bukan aktiviti setempat, pengukuran excavator umpamanya.
“Tiga paip utama berada di kawasan tersebut, yang berlaku runtuhan adalah yang di tengah. Kalau ikut pengiraan, 6 meter kedalaman, tak mungkin excavator tu sampai untuk mengadakan kerja-kerja korekan.
“Ia berpunca daripada kejatuhan disebabkan ada aliran tanah di bawah, maka dia jatuh dan spark atau berlaku geseran di mana kebocoran berlaku, dan berlaku letupan," kata Abdul Rahman.
Timbalan menteri itu menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Ahmad Yunus Hairi [PN-Kuala Langat], yang mempersoalkan penemuan pihak berkuasa yang mengatakan tragedi 1 April berpunca daripada beban kitaran (cycle loading).
Menurut ahli parlimen PAS itu, siasatan juga perlu dilakukan terhadap aktiviti di kawasan sekitar yang boleh menyumbang kepada kejadian berkenaan.
Kebakaran besar melibatkan saluran gas Petronas pada jam 8.10 pagi pada 1 April menyaksikan api menjulang sehingga ketinggian lebih 30m dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, mengubah landskap kawasan itu menjadi kawah besar.
Insiden itu turut memusnahkan deretan rumah dan harta benda dalam radius 500m. Terdapat juga laporan mengenai kecederaan melecur di kalangan mangsa yang dipindahkan dari rumah.
Susulan kejadian itu, timbul spekulasi letupan itu ada kaitan dengan aktiviti pembinaan yang sedang dijalankan di kawasan berhampiran dengan lokasi letupan.
Beberapa visual juga telah tular menunjukkan jentera berat dan pekerja binaan yang dikatakan menceroboh zon penampan keselamatan saluran paip sebelum kebakaran.
Bagaimanapun, pada 30 Jun, pihak berkuasa mengumumkan bahawa penyiasatan mereka menyimpulkan kejadian itu berpunca daripada faktor semula jadi dan menolak sebarang perbuatan khianat.
