Perhimpunan ‘Turun Anwar’ pada 26 Julai lalu mungkin sebahagian strategi musuh Islam untuk melemahkan kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di peringkat antarabangsa, kata seorang pemimpin kanan PKR.
Pengarah Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan berkata, jika diteliti daripada segi masa dan naratif yang dimainkan, demonstrasi tersebut tidak sekadar bersifat domestik.
"Jika dilihat kepada 'timing' demonstrasi, ia kelihatan serba tak kena jika kita hanya memandang ke dalam (domestik). Memang ada yang bingung kenapa Anwar mesti diturunkan," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, landskap politik dunia yang semakin bergolak, termasuk kemenangan semula Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat, menjadi petunjuk penting untuk memahami konteks yang mungkin mempengaruhi gerakan tersebut.
"Jika kita meneliti lebih luas lagi, kita mungkin akan mengetahui sebab-musababnya.
"Politik dunia mula mendung dengan kemenangan kali kedua Trump sebagai Presiden Amerika. Donald Trump memperkenalkan 'Reciprocal Tariff' menggoncangkan ekonomi dunia. Malaysia di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim berusaha sedaya upaya mempertahankan kedaulatan negara dari digugat menerusi perang ekonomi," katanya.

Tambah Amidi, kecaman terbuka Anwar terhadap Israel, sekutu rapat Amerika Syarikat, mengundang reaksi kurang senang kedua-dua negara tersebut.
"Keberanian Anwar serta ketegasannya tanpa memilih pentas menyaksikan dia menonjol sebagai pemimpin Islam paling berani memperjuangkan hak rakyat Palestin," ujarnya.
Katanya lagi, strategi Anwar yang berjaya mengimbangi hubungan antarabangsa Malaysia dengan kuasa besar dunia seperti Rusia dan China turut menimbulkan kewaspadaan di pihak Amerika.
"Kemesraan dengan Presiden Rusia, keakraban dengan Presiden China, membuka mata bahawa Anwar diterima di semua belahan dunia.
"Simpati dan sokongan kuasa dunia ini, Rusia dan China, terhadap perjuangan rakyat Palestin boleh mengubah polar sokongan dalam kuasa veto dunia. Inilah kebimbangan Israel dan sekutunya Amerika," katanya.

Justeru, menurut Amidi, wujud usaha untuk melemahkan pengaruh dan kredibiliti Anwar.
"Persepsi bahawa Anwar mempunyai sokongan yang padu dari rakyat mesti dirosakkan. Lalu inilah yang berlaku pada 26 Julai 2025. Ia terbukti dengan laporan media Barat yang hanya mengambil sudut yang memburukkan nama Anwar Ibrahim," katanya.
Amidi turut memetik beberapa laporan media antarabangsa termasuk Reuters, Channel News Asia dan Bloomberg yang melaporkan demonstrasi berkenaan — termasuk penyertaan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
"Jelas sekali laporan-laporan yang dibuat adalah untuk merosakkan imej Anwar di peringkat antarabangsa. Maka sudah terjawablah tujuan sebenar demonstrasi ini.
"Donald Trump tersenyum bersama Netanyahu melihat seorang lagi pemimpin Islam berjaya dilemahkan oleh satu pihak yang berjuang atas nama Islam," katanya lagi.
Dalam pada itu, Amidi turut mengingatkan mengenai amaran yang pernah dikeluarkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Razaruddin Husain, bahawa pihak polis sedang memantau serta mengumpul maklumat berkaitan kehadiran dan aktiviti agensi perisikan Israel, Mossad di negara ini.
