Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tengku Maimun: Jangan jadikan ia perdebatan peribadi

Bekas Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, menegaskan isu integriti badan kehakiman tidak wajar dijadikan perdebatan antara dua atau lebih pihak.

Sebaliknya, kata Tengku Maimun, ia perlu dinilai berasaskan fakta dan rekod sebenar.

“Kita jangan jadikan perkara ini perdebatan antara dua pihak atau lebih daripada dua pihak ,” katanya kepada pemberita selepas majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi di Putrajaya, hari ini.

Tengku Maimun berkata demikian ketika diminta mengulas secara dakwaan mengenai wujudnya campur tangan dalam institusi kehakiman.

Dalam ucapan perpisahannya pada minggu lalu, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli, mendakwa ketika dia masih berkhidmat ada seorang “hakim kanan” cuba memberi tekanan supaya mengubah keputusannya.

Abdul Rahman menyifatkan perkara itu sebagai contoh campur tangan kehakiman dari dalam, yang sepatutnya ditentang.

Dia bagaimanapun tidak menyebut nama hakim berkenaan, manakala kes yang dimaksudkan itu dipercayai melibatkan rayuan akhir Maria Chin Abdullah terhadap larangan perjalanan yang dikenakan terhadapnya.

Dalam kes tersebut, salah satu isu yang dicabar oleh Maria ialah klausa pengecualian (ouster clause) dalam Akta Imigresen yang melarang semakan kehakiman terhadap sebarang keputusan dibuat melalui akta itu.

Tidak rasa khuatir

Abdul Rahman mengetuai keputusan majoriti 4-3 yang mengekalkan klausa tersebut, manakala Tengku Maimun mengetuai keputusan minoriti yang menolaknya.

Menurut Abdul Rahman tekanan untuk mengubah keputusan tersebut muncul selepas dia mengedarkan draf penghakiman kepada hakim-hakim lain, dan hakim “sangat kanan” terbabit didakwa memberitahu bahawa dia membuat keputusan yang salah.

Mengulas lanjut dakwaan itu, Tengku Maimun sebaliknya berkongsi data prestasi Mahkamah Persekutuan sebagai bukti bahawa badan kehakiman di Malaysia berfungsi secara bebas dan berlandaskan undang-undang.

“Sejak enam tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membuat penghakiman dalam 19 kes melibatkan pelbagai isu berkaitan undang-undang perlembagaan.

"Daripada 19 kes tersebut, saya menulis, atau berbeza pendapat dalam lima kes.

“Berdasarkan statistik, lima daripada 19 mewakili kira-kira 25 peratus daripada penghakiman yang berbeza pendapat,” katanya.

Abdul Rahman Sebli

Tambah Tengku Maimun, angka itu sendiri mencerminkan bahawa para hakim bebas membuat keputusan sendiri dan tidak berlaku pilih kasih, serta tanpa sebarang tekanan sama ada luaran mahupun dalaman.

“Jika saya ada sebarang pengaruh ke atas penghakiman mereka, tentu sekali saya tidak akan berbeza pendapat dalam lima daripada 19 kes tersebut, terutamanya yang melibatkan undang-undang perlembagaan,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Rahman yang ditemui media berkata, dia tidak berasa bimbang dengan sebarang tindakan yang akan dikenakan kepadanya ekoran dakwaan dibuat itu.

“Saya tidak khuatir, saya cakap yang betul,” katanya ringkas.

Malah ketika ditanya kenapa baru sekarang perkara itu didedahkan, Abdul Rahman berkata, kerana dia berpendapat kini adalah masa yang sesuai untuk berbuat demikian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS