Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Prabowo diminta gesa Anwar ekstradisi ‘Saudagar Minyak’ Indonesia 
Diterbitkan:  Jul 28, 2025 6:17 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Sebuah badan pemantau rasuah Indonesia mendesak Presiden Prabowo Subianto menekan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menghantar pulang suspek rasuah penting, Riza Chalid, yang dipercayai berada atau pernah menetap di Malaysia.  

Dalam surat terbuka yang dikongsi kepada media, jurucakap Masyarakat Antikorupsi Indonesia (Maki) Boyamin Saiman menyatakan pihak berkuasa Indonesia belum menahan Riza kerana lokasinya di luar negara.  

"Mereka belum menahannya kerana dia tidak berada di Indonesia dan dipercayai menetap atau pernah menetap di Malaysia - walaupun maklumat terkini menunjukkan dia mungkin telah terbang ke Jepun," kata Boyamin.  

"Kami dengan hormat meminta tuan presiden membincangkan isu pemulangan Riza semasa pertemuan dengan PM Anwar Ibrahim," tambahnya.  

Kes rasuah Pertamina

Pada 11 Julai, pendakwa Indonesia menamakan Riza sebagai suspek dalam kes rasuah melibatkan gergasi minyak dan gas Pertamina. 

Dia dituduh bersekongkol dengan eksekutif Pertamina mendapatkan perjanjian sewa terminal di Merak, Banten, Pulau Jawa walaupun syarikat itu tidak memerlukan ruang simpanan tambahan.  

Riza, dikenali sebagai "Saudagar Minyak” dan pemilik manfaat PT Tangki Merak serta PT Orbit Terminal Merak, dituduh mengaut keuntungan daripada perjanjian sewa yang melambung.  

Sebanyak 17 individu lain termasuk bekas dan kini eksekutif Pertamina telah ditahan dalam kes yang menyebabkan kerugian Rp286 trilion (RM84.8 bilion).  

Hubungan diraja dan politik

Boyamin mendakwa Riza berkahwin dengan keluarga diraja dari negeri utara atau selatan Malaysia dan mempunyai hubungan dengan Anwar.  

Pada 2023, Menteri Besar Kedah Sanusi Nor membuat tuduhan hubungan antara Anwar dengan "ahli perniagaan Indonesia" (kemudian dikenal pasti sebagai Riza) yang berminat melabur dalam perlombongan nadir bumi di negeri itu.  

Anwar mengesahkan pernah mengadap Sultan Kedah bersama ahli perniagaan Indonesia tetapi menegaskan ia hanya kunjungan hormat.  

Boyamin menekankan kerjasama erat antara Jakarta-Putrajaya diperlukan untuk menghantar pulang Riza.  

"Walaupun Malaysia wajib memulangkan warganegara Indonesia yang bermasalah undang-undang, perbincangan langsung antara pemimpin kedua negara masih perlu untuk mempercepat proses," katanya.  

Dia memetik kes kejayaan pemulangan buruan rasuah Djoko Tjandra dari Malaysia pada 2020 sebagai duluan.  

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Syed Hasrin Tengku Hussin menyatakan rundingan tahunan Malaysia-Indonesia sebagai mekanisme dua hala tertinggi.  

Anwar akan menghadiri rundingan di Jakarta bersama Premier Sarawak Abang Johari Openg, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor serta beberapa menteri kabinet.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) minggu menyatakan kesediaan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa Indonesia dalam membantu siasatan membabitkan taikun itu.

“JIM akan memberi kerjasama sepenuhnya jika ada permohonan rasmi daripada pihak Indonesia,” ketua pengarahnya Zakaria Shaaban dipetik sebagai berkata.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS