Bekas Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat enggan mengulas lanjut mengenai perkara yang disebut dalam dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang bocor sebelum ini.
Tengku Maimun berkata dia tidak akan mengulas perkara itu memandangkan siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Tidak, tidak. Saya percaya pihak polis sedang menyiasat kes tersebut. Jadi, saya rasa tidak sesuai untuk saya mengulas mengenainya,” katanya ringkas, ketika diminta mengesahkan maklumat yang didakwa bocor daripada mesyuarat JAC, termasuk dakwaan campur tangan kehakiman oleh seorang hakim kanan.
Tengku Maimun ditemui selepas Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi di Putrajaya, hari ini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengesahkan maklumat yang didakwa bocor daripada mesyuarat JAC baru-baru ini, termasuk dakwaan terhadap campur tangan kehakiman oleh seorang hakim kanan.
Dokumen yang tersebar di media sosial pada 12 Julai lalu dikatakan sebagai sebahagian minit mesyuarat JAC pada Mei lalu.
Minit tersebut yang merupakan dokumen sulit, dilaporkan mengandungi dakwaan yang serupa dengan laporan polis yang dibocorkan sebelum ini dan dibuat bagi pihak seorang hakim kanan pada Jun lalu.
Laporan polis itu dibuat selepas Malaysiakini menghubungi hakim berkenaan pada 12 Jun bagi mendapatkan komen berhubung dakwaan campur tangan kehakiman dalam mesyuarat JAC bulan sebelumnya.
Kebocoran dokumen itu meningkatkan kebimbangan berlakunya campur tangan dalam badan kehakiman.
Polis sebelum ini mengesahkan menerima laporan berkaitan dokumen berkenaan dan siasatan sedang dijalankan di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Rahsia Rasmi (OSA).
