Adik kepada mendiang Teoh Beng Hock, Teoh Lee Lan, meluahkan rasa kecewa terhadap apa yang disifatkannya sebagai "layanan dua darjat" dalam kes kematian abangnya.
Ini selepas Chan Ming Kai yang merupakan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyatakan bahawa tiada keperluan memenuhi permintaan keluarga agar pakar antarabangsa terlibat dalam siasatan semula kes kematian Teoh.
Lee Lan membandingkan situasi itu dengan insiden pada 20 tahun lalu ketika Anwar Ibrahim mengalami masalah sakit belakang ketika dalam penjara dan mendapat kebenaran untuk diperiksa oleh pakar perubatan dari Jerman.
“Pada 11 Mac 2001, seorang pakar perubatan luar negara dari Jerman, Dr Thomas Hoogland, dibenarkan memeriksa sakit Anwar di Hospital Kuala Lumpur.
“Ketika itu, Menteri Kesihatan Chua Jui Meng berulang kali mendakwa bahawa sistem perubatan Malaysia mempunyai kepakaran mencukupi untuk menjalankan pemeriksaan dan pembedahan, namun pentadbiran ‘Mahazalim’ Mahathir tetap membenarkan pemeriksaan oleh pakar luar negara.
“... Anda layak mendapat pemeriksaan perubatan oleh pakar luar negara, tetapi Beng Hock — seorang pegawai politik berpangkat rendah — tidak layak mendapat keadilan, apatah lagi siasatan oleh pakar jenayah antarabangsa,” kata Lee Lan dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi terhadap temu bual Chan Ming Kai dalam podcast Keywords pada 21 Julai, apabila dia mengatakan pakar antarabangsa tidak diperlukan melainkan polis tidak memiliki teknologi yang mencukupi.
Chan juga berkata institusi birokrasi mungkin sukar menerima langkah tersebut kerana ia boleh ditafsirkan sebagai mencabar profesionalisme mereka.
Mengulas lanjut, Lee Lan berkata pihak polis sendiri pada 15 April lalu telah menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai sumber mencukupi untuk menyiasat kes itu yang telah berusia 15 tahun.
“Bukankah ini satu isyarat jelas bahawa polis memerlukan bantuan? Jika kerajaan tiada apa yang mahu disembunyikan, mengapa takut untuk menjemput pakar siasatan jenayah antarabangsa bagi menyiasat kes ini?” soalnya.
