Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendakwa dirinya berjaya menamatkan permusuhan antara Thailand dan Kemboja, sambil menggelar dirinya sebagai “presiden keamanan”.
Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump berkata dia telah berbincang dengan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
“Saya berbesar hati mengumumkan bahawa, selepas penglibatan Presiden Donald J Trump, kedua-dua negara telah mencapai perjanjian gencatan senjata dan keamanan.
“Tahniah kepada semua! Dengan menamatkan perang ini, kita telah menyelamatkan ribuan nyawa. Saya telah mengarahkan Pasukan Perdagangan saya untuk memulakan semula rundingan perdagangan. Saya telah menamatkan banyak peperangan hanya dalam masa enam bulan – saya bangga menjadi Presiden Keamanan!” tulisnya.
Bagaimanapun, kerajaan AS sebelum ini memberi penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, kerana berjaya menjadi orang tengah dalam perjanjian gencatan senjata itu.
“Kami menghargai kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, dan jasanya menganjurkan rundingan gencatan senjata.
“Kami menggesa semua pihak supaya menunaikan komitmen masing-masing,” kata Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dalam satu kenyataan.
Pada Isnin, Anwar mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat berkuat kuasa tengah malam, selepas rundingan damai yang dianjurkannya di Putrajaya.
Pada sidang media bersama perdana menteri Thailand dan Kemboja, Anwar mendedahkan bahawa Trump turut bercakap dengan kedua-dua pemimpin dan menggesa mereka mencari penyelesaian secara aman.
Malaysia kini memegang jawatan pengerusi bergilir Asean, yang turut dianggotai oleh Thailand dan Kemboja.
Ketegangan antara kedua-dua negara itu memuncak pada 28 Mei selepas pertempuran maut di kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang askar Kemboja.
