Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor hari ini memintas Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan yang mengajukan soalan tambahan semasa sesi soal jawab menteri selepas dia mengecam Ahli Parlimen PAS Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari.
Sany (PH-Hulu Langat), yang bangkit untuk menyoal Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, memetik catatan Facebook yang kini sudah dipadam oleh Fadhli yang dikatakan menggambarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, dan pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai sebagai karikatur haiwan.
Catatan itu dimuat naik susulan sidang media bersama oleh ketiga-tiga pemimpin itu, selepas Anwar menjadi orang tengah dalam mesyuarat yang menghasilkan persetujuan untuk gencatan senjata segera antara dua negara jiran itu.
Sany juga mengkritik doa yang dibacakan oleh Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail dalam perhimpunan "Turun Anwar" Sabtu lalu.
"Ini saya nak tanya pada menteri, sepatutnya doa ini doa kebahagiaan, kesejahteraan, keselamatan, selamatkan negara kita...bukannya doa laknat," katanya.
"Ini jadi masalah kepada kepimpinan PN. Semalam saya dihujani satu karikatur yang menghina perdana menteri menyamakan perdana menteri sebagai seorang kera, monyet ataupun beruk.
"Ini merupakan satu tindakan biadab, kurang ajar, tidak bertamadun yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas," tambahnya.
Pada ketika ini, Ramli mencelah, mengingatkan Sany supaya berpegang pada peraturan mesyuarat dengan mengemukakan soalan dan tidak menjadikan sesi itu sebagai perdebatan.
“Saya beri ruang dan saya peringatkan, dalam soalan untuk mukadimah, dan bukan untuk berbahas. Saya tafsirkan itu sebagai perbahasan, maka ruang untuk sebelah kanan bertanya soalan saya tamatkan. Kita kepada soalan ketiga," kata Ramli meminta Sany duduk.
