Polis tolak permohonan permit perhimpunan Hindraf

Soon Li Tsin        

Pihak polis telah menolak permohonan Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) untuk mendapatkan permit bagi mengadakan perhimpunan di pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur Ahad ini.

Dalam surat penolakan tersebut, yang ditandatangani oleh Ketua Polis Cheras, ACP Ahmad Amir Mohd Hashim, menjelaskan bahawa permohonan tersebut dibuat oleh seorang individu dan bukannya oleh pertubuhan.

Mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967, sebarang permohonan untuk mendapatkan permit bagi mengadakan perhimpunan di tempat awam mesti dibuat oleh sesebuah pertubuhan atau permohonan bersama oleh tiga individu.

Polis juga menyuarakan keraguan mereka sama ada pemohon mampu mengawal perhimpunan itu, serta menegaskan bahawa perhimpunan itu boleh menggangu lalulintas serta peraturan dan undang-undang.

Dalam reaksinya, penasihat perundangan Hindraf, P Uthayakumar menyifatkan alasan yang diberikan oleh pihak polis itu sebagai "lemah". Beliau menjelaskan bahawa Hindraf adalah gabungan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang sedang menunggu kelulusan permohonan pendaftarannya.

Uthayakumar berkata, tugas untuk mengawal lalulintas dan segala peraturan adalah menjadi tanggungjawab polis, bukan Hindraf.

"Malah, kami telah memberitahu pihak polis bahawa kita akan menyediakan 100 orang untuk membantu mengendalikan perhimpunan tersebut secara aman," katanya kepada Malaysiakini.

Uthayakumar menegaskan bahawa perhimpunan tersebut tetap akan diteruskan, sambil berkata, beliau telah menghantar surat rayuan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Kita telah menulis surat merayu terhadap penolakan permohonan permit tersebut. Ia juga untuk memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa kita telah menerima maklumat bahawa akan ada kumpulan samseng Melayu dan India, untuk mencetuskan kebencian antara kaum pada hari berkenaan bagi mengganggu perhimpunan yang akan diadakan secara aman itu," dakwanya.

Pesuruhjaya bersedia

Sementara itu, setiausaha politik kedua kepada Pesuruhjaya Tinggi British, Dawn Houghton, ketika dihubungi berkata, pihaknya akan bersedia untuk menerima petisyen pada hari Ahad ini.

"Kami tahu mengenai rancangan mereka. Sebarang perhimpunan adalah urusan antara Hindraf dengan pihak berkuasa tempatan. Mesti ada seseorang untuk menerima petisyen tersebut Ahad ini," katanya.

Perhimpunan tersebut dijangka dihadiri 10,000 orang untuk menyerahkan petisyen kepada Ratu England bagi menyokong saman yang difailkan terhadap kerajaan British kerana membawa orang India ke Malaysia sebagai buruh dan mengeksploitasi mereka selama 150 tahun.

Mereka menuntut AS$4 trillion (RM14 trilion) - atau AS $1 juta bagi setiap orang India yang tinggal di Malaysia.

Semalam, polis menyerbu firma guaman Uthayakumr di Kuala Lumpur untuk mencari buku yang kandungannya dianggap berunsur hasutan.

Lima pegawai polis mengeledah pejabatnya di Jalan Bangsar, manakala kira-kira 10 anggota polis lagi menyerbu firma guaman adiknya, yang juga pengerusi Hindraf, Waythamoorthy di Seremban, Negri Sembilan.

Bagaimanapun, selepas sejam, anggota polis tersebut beredar dari situ tanpa menemui buku berkenaan di kedua-dua pejabat terbabit.

Sementara itu, polis melarang orang ramai daripada menyertai perhimpunan anjuran Hindraf di hadapan bangunan Suruhanjaya Tinggi British di Jalan Ampang Ahad ini.

ACP Ahmad Amir berkata polis menerima permohonan daripada pihak penganjur pada 7 November lalu untuk mengadakan perhimpunan tersebut tetapi ditolak pada 16 November atas faktor keselamatan.

"Pihak berkenaan bagaimanapun boleh mengemukakan rayuan mereka kepada Ketua Polis Kuala Lumpur sebelum esok," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini. Berita asal

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In