Saya mendengar dengan teliti jawapan yang diberikan oleh menteri kesihatan semasa perbahasan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2025 semalam.
Ramai anggota dewan turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan vape dalam kalangan rakyat, khususnya golongan muda.
Saya faham bahawa pihak kementerian sedang meneliti cadangan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan dan penjualan vape. Namun begitu, saya tidak bersetuju jika sekarang ini kita hanya berdiam diri dan menunggu sehingga proses itu dimuktamadkan.
Dalam mempertimbang pengharaman vape, kerajaan perlu mengambil kira bahawa larangan total sering membawa kepada kewujudan pasaran gelap yang sukar dikawal jika tiada penguatkuasaan yang benar-benar berkesan.
Memandangkan produk vape masih dijual secara meluas, saya menggesa kerajaan untuk segera menaikkan cukai ke atas cecair vape bernikotin agar selari dengan kadar cukai rokok. Langkah ini penting bagi memperkukuh usaha pencegahan dan pengawalan.
Ketika ini, cecair nikotin hanya dikenakan cukai sebanyak 40 sen bagi setiap mililiter, sedangkan rokok dikenakan cukai sebanyak RM8.00 bagi setiap kotak.
Berdasarkan perkiraan mudah, penggunaan dua mililiter cecair vape bernikotin mengandungi hampir sama jumlah nikotin dengan sekotak rokok. Namun, cukai yang dikenakan ke atas vape hanyalah sekitar 10 peratus daripada cukai rokok — satu jurang yang ketara.
Perbezaan harga yang begitu besar menyebabkan ramai pengguna memilih vape kerana lebih murah dan lebih mampu milik.
Jika kerajaan benar-benar serius mahu membendung penggunaan vape, menaikkan cukai adalah langkah segera yang mudah dilaksanakan — dengan syarat adanya kemahuan politik.
Kerajaan tidak boleh terus berdolak-dalik. Jika hasrat untuk mengawal penggunaan vape itu benar, maka tindakan paling wajar dan pantas ialah dengan segera mengumumkan kenaikan cukai ke atas cecair vape nikotin. Ini adalah low-hanging fruit yang sangat jelas.
Selain itu, kerajaan juga perlu memperkenalkan harga minimum bagi produk vape — sepertimana yang dilaksanakan ke atas rokok. Harga minimum ini wajar ditetapkan sekurang-kurangnya pada paras RM12.00, dan keseluruhan struktur harga perlu dipautkan kepada kadar kenaikan duti eksais dari semasa ke semasa.
Ini penting bagi memastikan kesaksamaan cukai dan tahap kemampuan harga yang sesuai dengan niat untuk mengurangkan atau mencegah penggunaannya.
Sudah tiba masanya kerajaan bertindak tegas. Tidak perlu tunggu pengharaman. Sebaliknya saksamakan cukai dan memperkenalkan harga minimum adalah langkah yang boleh diambil serta merta.
Ini langkah realistik, segera, dan paling berkesan untuk melindungi kesihatan awam – terutamanya generasi muda kita.
WAN SAIFUL WAN JAN adalah anggota parlimen Tasek Gelugor daripada Perikatan Nasional (PN).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
