Paling Popular
Terkini

Alhamdulillah satu lagi krisis peperangan antara negara (Thailand-Kemboja) dihentikan. Kita mengharapkan ia berkekalan dalam semangat persaudaraan yang ikhlas.

⁠Persetujuan ini bukanlah suatu yang mudah. Ia dapat dilakukan atas kepercayaan dan keyakinan yang terbina sejak bertahun-tahun. Di sinilah terletaknya kekuatan Anwar Ibrahim. 

⁠Walaupun tindakan melantik Thaksin Shinawatra sebagai penasihat peribadi pengerusi Asean 2025 dikritik hebat atas kekotoran tangannya dengan insiden Takbai yang penuh kontroversi, namun bacaan Anwar terhadap kekuatan pengaruh politik Thaksin amat tepat. 

Begitu juga dengan hubungan Anwar dan Hun Sen yang juga mendorong untuk sengketa ini ditangani dengan berkesan.

⁠Politik penyatuan berteraskan kesederhanaan yang diamalkan oleh Anwar membuatkan musuh-musuh Islam ketakutan. Anwar dilihat benar-benar menguasai politik dunia Islam.

Dia bukan sahaja memahami politik kepuakan dalam umat Islam. Dia tahu sensitifnya umat Islam Arab dengan umat Islam Turki. Politik Arab di negara teluk dengan Arab di Afrika Utara. 

Begitu juga dengan situasi politik Asia Tengah yang berselirat dengan sokongan terhadap kuasa Barat dan Eropah. Itu belum lagi kita ambil kira pelawaan Pakistan untuk Anwar memainkan peranan dalam konflik India-Pakistan.

⁠Sahabatnya Prof Yunus di Bangladesh yang mengetuai pentadbiran sementara Bangladesh juga amat menghormati beliau.

⁠Anwar juga memahami pertembungan aliran pemikiran, mazhab fikah dan akidah umat Islam. Beliau diterima dan rasa dipunyai oleh semua aliran tersebut.

⁠Beliau juga dirasai kebersamaannya dalam perjuangan umat Islam di Patani, perjuangan umat Islam di Selatan Filipina dan Rohingya. Sudah semestinya perjuangan umat Islam di Palestin juga amat merasai kebersamaan beliau.

⁠Inilah kekuatan yang amat ditakuti oleh musuh Islam. Kekuatan seperti ini tidak dipunyai oleh semua pemimpin negara Islam.

⁠Kekuatan seperti ini mesti dilemahkan. Anwar mesti dilihat sebagai pemimpin bermasalah di negaranya terlebih dahulu. Perkara yang sama dilakukan di Turkiye terhadap Erdogan. 

Demonstrasi besar-besaran di seluruh Turkiye yang berlaku pada bulan Mac lalu bagi menggambarkan Erdogan dibenci oleh rakyatnya sendiri.

⁠Apabila Erdogan bertindak tegas untuk mengekang demonstrasi, dia digambarkan pula sebagai pemimpin kuku besi.

⁠Tatkala Malaysia sedang melonjak prestasi ekonominya, pembetulan dan pembersihan jentera kerajaan, tiba-tiba dianjurkan satu demonstrasi untuk menurunkannya dari kepimpinan negara. 

Ia dilakukan dengan meniupkan api kebencian yang melampau. Ucapan seorang pemimpin usang, yang menuduhnya mengamalkan hubungan sejenis, patungnya disebat sambil melaungkan kata-kata yang penuh kebencian adalah contoh jelas ini semua adalah rancangan musuh Islam yang didalangi oleh agen pirisikan seperti Mossad dan seumpamanya.

⁠Lebih teruk lagi, unjuk rasa Turun Anwar, tidak mampu menamakan seorang pengganti jika Anwar diturunkan. Ia satu mesej yang nyata bahawa penganjur saling bersaing dan berbalah bagi merebut kuasa politik negara.

⁠Jelas sekali jika tuntutan mereka berjaya, negara kita akan terjerumus ke dalam kancah perpecahan. Donald Trump dan Benjamin Netanyahu ketawa besar melihat seorang pemimpin yang beragama Islam, berusia 100 tahun, menjadi boneka mereka bagi menghancurkan kekuatan kepimpinan umat Islam.


AMIDI ABDUL MANAN adalah pengarah Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama merangkap anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS