Cubaan menyeludup keluar spesies hidupan liar sekali lagi berjaya dipatahkan oleh pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), apabila seorang wanita tempatan ditahan bersama beberapa ekor haiwan eksotik yang disembunyikan di dalam bagasi.
Dalam kejadian pada 28 Julai lalu yang berlaku pada kira-kira jam 9.10 malam, pemeriksaan bagasi rutin oleh pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di kawasan Hammerhead H2, KLIA Terminal 1, telah menemui sembilan ekor haiwan liar dalam bagasi yang diperiksa.

"Pemeriksaan dilakukan ke atas bagasi milik penumpang penerbangan Malaysia Airlines MH0198, yang dijadualkan berlepas ke Hyderabad (KUL–HYD) pada jam 9.30 malam.
"Suspek, seorang wanita warganegara Malaysia berusia 36 tahun yang berasal dari Negeri Sembilan, telah ditahan serta-merta.
"Kesemua haiwan ini merupakan spesies yang dilindungi dan dipercayai diseludup untuk tujuan perdagangan haram antarabangsa. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM127,000.00," kata AKPS dalam satu kenyataan media hari ini.
Antara haiwan yang dirampas adalah empat ekor siamang, seekor beruk dan empat ekor Sugar Glider.
AKPS menambah suspek kemudiannya dibawa ke balai polis KLIA untuk siasatan lanjut.
"Kes kini disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].

Katanya, pemeriksaan bersepadu AKPS KLIA dengan kerjasama pihak AVSEC KLIA akan terus dipergiatkan dalam usaha mengekang kegiatan penyeludupan hidupan liar melalui laluan udara negara.
