Perang mulut di antara pemimpin DAP dan MIC berhubung dakwaan kegagalan kerajaan menangani nasib masyarakat India semakin memuncak.
Ia berlaku selepas Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, sebelum ini mendakwa parti itu dilayan seolah-olah tetamu tidak diundang dalam kerajaan perpaduan yang diketuai oleh Anwar Ibrahim.
Sebagai tindak balas, seorang wakil rakyat DAP, M Thulsi, menyanggah Saravanan dengan mengatakan, MIC boleh meninggalkan kerajaan jika mereka berasa tidak ada ruang dalam keadaan sekarang.
Terkesan dengan kenyataan Adun Buntong di Perak itu, Ketua Pemuda MIC, K Arvind, berkata lebih baik DAP harus bercemin diri dan menjelaskan apa yang telah dilakukan parti itu untuk masyarakat India sejak mereka membentuk kerajaan.

"Untuk semua jawatan yang dipegang dan janji yang dibuat, DAP secara konsisten gagal menjadi suara masyarakat India.
"DAP tidak mempunyai moral untuk mengkritik MIC kerana PH gagal menepati 10 janji utama dalam 100 hari pertama pentadbiran mereka.
"Malah, kos sara hidup semakin meningkat di bawah pentadbiran mereka.
"Kami bekerja tanpa mencari publisiti demi rakyat. Kritikan tanpa penyelesaian hanya memecahbelahkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Memetik kes Zamri Vinoth sebagai contoh, Arvind berkata, DAP tidak boleh mengambil tindakan terhadap personaliti terbabit walaupun seorang pemimpin kanan parti itu, M Kulasegaran, kini menjadi timbalan menteri untuk undang-undang dan pembaharuan institusi.

"MIC, sebaliknya, berdiri teguh menyeru keadilan. Kegagalan DAP untuk bertindak memberikan mesej yang jelas: kedudukan politik tidak membawa makna tanpa keberanian moral," katanya.
Sebelum ini, Saravanan dilaporkan berkata MIC akan memutuskan hala tuju masa depannya selepas mesyuarat agung tahunan parti terbabit Okt ini.
Ia dilangsungkan ketika wujud rasa tidak puas hati terhadap kekurangan perwakilan masyarakat India dalam kerajaan perpaduan.
Bekas menteri sumber manusia itu berkata parti komponen BN berasa diketepikan dan seperti "tetamu yang tidak diundang " dalam kerajaan perpaduan, lapor Utusan Malaysia.
Dia yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, selain tidak diberikan sebarang jawatan dalam kerajaan, MIC juga diketepikan daripada posisi dalam syarikat berkaitan kerajaan.
Lemahkan usaha kolektif
Keadaan itu, katanya, berlaku walaupun MIC mempunyai tokoh politik kanan seperti dirinya.
Membalas pandangan Saravanan itu, Thulsi kemudian meminta MIC meletakkan jawatan serta-merta dan kemudian meluangkan masa untuk merenung perananmasa depannya, bebas daripada pengaruh kedudukan semasa.
"Sekiranya MIC benar-benar berasa terkilan dan terpinggir, ia harus menunjukkan keyakinan dengan meletakkan semua jawatan kerajaan tanpa teragak-agak lagi.
"Seseorang tidak boleh menikmati keistimewaan berada dalam kerajaan, memegang peranan penting, mengambil gaji, dan mendapat manfaat daripada gabungan itu dan pada masa yang sama terlibat mengkritik serta sentiasa berasa tidak puas hati.
"Pendekatan ini melemahkan usaha kolektif dan mencerminkan kekurangan komitmen terhadap matlamat bersama," katanya.
Pada masa sama Thulsi turut mencadangkan - sebagai alternatif - untuk MIC mengetepikan rungutan mereka dan bekerjasama bersungguh-sungguh untuk membina semula Malaysia yang lebih kukuh, lebih inklusif untuk manfaat semua rakyat.
