Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC libatkan Zamri Vinoth, dakwa DAP gagal bela masyarakat India
Diterbitkan:  Jul 29, 2025 3:20 PM
Dikemaskini: 7:43 AM

MIC dan DAP kini terheret dalam perang mulut berhubung dakwaan bahawa kerajaan Madani telah gagal menangani kesengsaraan yang dihadapi oleh masyarakat India.

Bagi meningkatkan tekanan, Ketua Pemuda MIC K Arvind melibatkan pendakwah Islam yang kontroversi, Zamri Vinoth, untuk menonjolkan apa yang disifatkannya sebagai kegagalan DAP.

K Arvind

Dia menuduh parti itu tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Zamri, walaupun pemimpin kanan DAP, M Kulasegaran, adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

“MIC pula tetap tegas dalam menuntut keadilan. Kegagalan DAP untuk bertindak memberi mesej yang jelas: jawatan politik tidak bermakna tanpa keberanian moral,” tambahnya.

Minggu lalu, ahli Parlimen India dari DAP dan PKR menyuarakan rasa tidak puas hati selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa bukti tidak mencukupi untuk mendakwa Zamri dan pendakwah Firdaus Wong.

Zamri, yang sebelum ini menjadi subjek kepada pelbagai laporan polis berhubung kenyataan berbaur hasutan, sekali lagi mencetuskan kemarahan awam apabila dia menyamakan pembawa kavadi semasa Thaipusam dengan individu yang mabuk.

Zamri (kiri) bersama Firdaus (kanan)

Walaupun hampir 1,000 laporan polis telah dibuat di seluruh negara, keputusan AGC untuk tidak mengambil tindakan lanjut mendorong Presiden MIC SA Vigneswaran menegur pihak berkuasa bahawa prinsip 3R (kaum, agama, institusi diraja) bukanlah perisai undang-undang untuk melindungi hanya satu agama.

Pertelingkahan antara MIC dan DAP memuncak selepas Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, mendakwa parti komponen BN itu dilayan seperti “tetamu yang tidak diundang” dalam kerajaan Madani.

Saravanan, yang juga ahli Parlimen Tapah, berkata MIC akan memutuskan halatuju masa depannya pada mesyuarat agung tahunan parti itu pada Oktober ini, di tengah-tengah rasa tidak puas hati yang semakin memuncak.

Sebagai respons, Adun DAP M Thulsi berkata MIC bebas untuk keluar dari kerajaan jika berasa tersisih.

M Thulsi

“Jika MIC benar-benar berasa terpinggir dan tidak dihargai, mereka sepatutnya menunjukkan pendirian dengan melepaskan semua jawatan kerajaan tanpa teragak-agak.

“Seseorang tidak boleh menikmati keistimewaan dalam kerajaan, memegang jawatan penting, menerima gaji dan manfaat daripada gabungan, sambil pada masa yang sama terus-menerus mengkritik dan tidak berpuas hati.

“Pendekatan ini melemahkan usaha bersama dan mencerminkan kekurangan komitmen terhadap matlamat bersama,” kata wakil rakyat Buntong itu.

Namun, Arvind membalas dengan menggesa DAP menilai semula rekod pencapaian sendiri.

“Dengan semua jawatan yang dipegang dan janji yang dibuat, DAP secara konsisten gagal menjadi suara masyarakat India.

“DAP tidak mempunyai kedudukan moral untuk mengkritik MIC apabila Pakatan Harapan sendiri gagal menunaikan 10 janji utama dalam 100 hari pertama pentadbiran,” tambahnya.

K Saraswathy

Terdahulu hari ini, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy, menolak dakwaan bahawa masyarakat India terpinggir di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sambil menuduh pihak tertentu menyebarkan maklumat tidak benar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS