ULASAN | Secara jujurnya saya amat tidak bersetuju dengan reaksi para penyokong Kerajaan Madani yang cuba memperlekehkan program himpunan ‘Turun Anwar’ yang diadakan baru-baru ini di ibu kota.
Meskipun reaksi itu boleh diramalkan sejak dari awal namun saya merasakan ia adalah reaksi yang tidak begitu "proportionate".
Antara naratif yang disajikan untuk memperlekehkan himpunan tersebut adalah ia sebuah perhimpunan yang gagal, kehadiran peserta yang tidak ramai dan perhimpunan tersebut juga dicemari oleh pembuangan sampah merata-rata .
Dengan hormat, saya melihat usaha memperlekehkan himpunan tersebut hanya menampakkan budaya sindrom penafian yang masih tebal di pihak penyokong kerajaan Madani.
Isunya adakah sindrom begitu bagus untuk kerajaan Madani?
Versi kerajaan Madani boleh dikatakan menganggap himpunan itu gagal kerana jumlah kehadiran tidak mencapai matlamat kerana yang hadir hanya sekitar 18,000 orang sahaja.
Kebetulan saya agak biasa menghadiri begitu banyak himpunan sebelum ini (dan biasa juga kena tangkap, apa lagi disembur gas pemedih mata). Apabila melihat kepada video dan puluhan gambar perhimpunan tersebut di media sosial, agak sukar untuk saya menerima versi yang menyatakan perhimpunan itu hanya dihadiri oleh sekitar 18,000 para peserta sahaja.

Zaid Ibrahim yang juga hadir di perhimpunan tersebut mengatakan sekitar 200,000 yang hadir. Jika 200,000 itu mungkin dianggap terlalu ramai dan angka yang agak melampau semacam membodek, angka 18,000 mungkin terlalu kecil dan melampau pula mengarutnya.
Saya boleh bayangkan andai kata perhimpunan sebegitu ramai katakan adalah anjuran PH mungkin para penceramah dari kalangan pemimpin dan penyokong PH selepas acara itu akan mengatakan begini "kami rasa depa tak pandai matematik sebab tak pandai kira!".
Baiklah, bagi tujuan penghujahan katakan kita terima versi kerajaan iaitu hanya 18,000 orang sahaja yang hadir. Isunya adakah 18,000 itu jumlah yang sedikit?
Saya tidak pasti adakah perhimpunan balas yang diberitakan ingin diadakan oleh para pemandu teksi bagi menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim boleh mencapai angka 18,000? Jika boleh, baguslah.
Jasa sukarelawan
Mengenai isu sampah, saya rasa ia adalah suatu isu yang tidak sepatutnya diperbesarkan apalagi oleh seorang yang bertaraf menteri. Dalam bahasa Inggeris saya rasa isu itu "was blown out of proportion".
Katakan isu itu betul sekalipun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, yang juga kawan baik saya sepatutnya kena berlaku adil juga kepada para petugas Unit atau Jabatan Amal PAS. Saya rasa menteri tersebut amat arif sumbangan dan peranan besar Jabatan Amal semasa isu rampasan kuasa di Perak suatu masa dahulu. Itu fakta sejarah yang tidak boleh dipadam.
Apapun, saya sendiri ada pengalaman yang agak lama di dalam PAS dan pernah menjadi pengerusi guaman dan undang-undang PAS. Ya, benar saya ada "some reservations on PAS" tetapi saya juga dalam masa yang sama tidak boleh tidak berlaku adil kepada PAS apalagi Jabatan Amal.
Pendirian saya dari dahulu meskipun kita tidak setuju dengan para "musuh" atau pihak yang kita tidak suka, ia bukan lesen untuk kita boleh berlaku tidak adil kepada mereka. Itulah pendirian saya sejak dulu dan saya biasa berkata begitu di dalam Parlimen berkali- kali. Boleh lihat dan baca hansard.
Bagi saya, pendirian itu selari dengan ajaran Islam sepertimana ayat 8 di surah al-Maidah. Sebab itu dalam sejarah Islam tidak sedikit peristiwa yang merakamkan para ulamak Islam membela hatta orang bukan Islam yang dizalimi hatta oleh orang Islam sendiri.
Saya tidak pasti berapa ramai daripada orang Islam sendiri yang tahu tentang sejarah Islam sendiri seperti sejarah ulama dan ahli sufi Sheikh Ahmad Zarruq di Morocco yang membela golongan Yahudi yang ditindas sehingga beliau dihukum buang negara ke Libya dan sejarah Sheikh Abdul Kader Al-Jazairi yang membela golongan Kristian di Syria meskipun beliau pernah berjihad melawan bala tentera Kristian penjajah Itali yang menjajah bumi Algeria.

Berdasarkan pengalaman saya di dalam PAS saya kena akui bahawa antara institusi dalam PAS yang agak berjaya adalah Jabatan Amal dan tadika PASTI. Peranan besar Jabatan Amal PAS dalam banyak aktiviti PAS termasuk dalam aktiviti himpunan aman sangat besar. Ia sebuah institusi yang hebat kerana berjaya mengumpul para petugas yang bersedia bertugas secara sukarela 24 jam.
Kebetulan saya pernah mewakili para petugas Jabatan Amal yang didakwa di mahkamah antaranya semasa sebahagian dari para petugas Jabatan Amal ditangkap dan di dakwa semasa Himpunan Bersih 1. Sejujurnya saya amat amat menyayangi dan menghormati mereka sehingga kini. Mewakili mereka di mahkamah adalah satu penghormatan.
Dalam perhimpunan "Turun Anwar"' baru-baru ini kita boleh melihat usaha dan dedikasi para petugas Jabatan Amal mengutip sampah dan membersihkan lokasi himpunan. Jika kita ingin marah sekalipun kepada perhimpunan tersebut perlulah juga paling kurang kita memberi kredit pada Jabatan Amal tersebut.
MOHAMED HANIPA MAIDIN adalah mantan timbalan menteri undang-undang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
